Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hidupkan erti Hijrah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Bagi mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW, tidak cukup sekadar dengan menyebut dan mengingatinya saja, jelas khatib, yang lebih penting menghidupkan erti hijrah itu dalam kehidupan seharian dengan melakukan perubahan dari satu keadaan yang baik kepada satu keadaan yang lebih baik.

    “Peristiwa hijrah yang penuh dengan perjuangan dan pengorbanan ini pasti tidak dapat dilupakan oleh seluruh umat Islam kerana hijrah Rasulullah SAW inilah menjadi sumber inspirasi perjuangan umat Islam sepanjang zaman,” tambah khatib dalam khutbah Jumaat, hari ini.

    Tambah khatib, “Walaupun kita tidak bersama Rasulullah SAW, para sahabat dan pengikut Baginda dalam peristiwa hijrah tersebut, konsep hijrah itu tetap berterusan untuk dihayati dan tidak berakhir.”

    Khatib seterusnya menjelaskan, maksud hijrah itu bukan saja terbatas kepada pengertian berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain tetapi hijrah itu dalam erti kata yang luas ialah perpindahan yang membawa kepada perubahan.

    “Iaitu hijrah hati, meningkatkan keimanan dan ketakwaan, menambah ilmu pengetahuan, memperbanyakkan amal soleh, mengamalkan akhlak Islam, meninggalkan segala perbuatan yang ditegah dan dilarang Allah, melaksanakan segala perintah Allah, ketakwaan dan ketaatan.”

    Khatib seterusnya menegaskan, sebagai umat Islam, hijrah seperti inilah yang mesti dilakukan dalam setiap masa dan keadaan.

    Antara pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW adalah kesabaran dan ketekunan hati Rasulullah dan sahabat Baginda dalam mempertahankan cita-cita demi menegakkan dakwah, syiar Islam. Walaupun mengalami pelbagai ujian, dugaan dan kepayahan tetapi Rasulullah SAW dan sahabat Baginda masih mempertahan akidah, pendirian dan keyakinan mereka.

    Kedua, tambah khatib, tidak bertolak ansur atau memandang ringan dalam hal yang berkaitan dengan akidah walaupun Nabi Muhammad SAW diberikan tawaran menarik atau ugutan dan penghinaan bagi menyekat dan memberhentikan kegiatan dakwah Baginda, tapi Baginda tetap dengan pendirian dan tidak bertolak ansur dalam perkara yang berkaitan akidah atau mentauhidkan Allah.

    “Ini kerana tiada ertinya segala harta benda, kekayaan, pangkat kebesaran sekiranya akidah dan syiar agama Islam musnah dan dimusuhi,” jelasnya.

    Hijrah Rasulullah SAW telah membawa perubahan yang amat besar kepada kebangkitan, kemantapan dan perkembangan agama Islam, malah hijrah Baginda juga adalah titik permulaannya kuasa dan kekuatan agama Islam itu berkembang dan tersebar ke seluruh dunia.

    Hikmah dan rahsia di sebalik hijrah itu hendaklah dihayati dan dijadikan pengajaran alam menjalani kehidupan ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda