Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Umat Islam di negara ini, hari ini, menyambut Nisfu Syaaban yang seperti lazimnya dihidupkan dengan memperbanyakkan amal dengan berhimpun di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara, dengan tumpuan di Masjid Omar Ali Saifuddien.
Hadir selaku tetamu khas ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.
Turut hadir ialah para pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan KHEU serta jemaah masjid.
Acara diisi dengan sembahyang fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Khairul Ariffin bin Haji Yusof. Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yasin tiga kali yang dikepalai oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat dengan memohon kepada Allah SWT agar dipanjangkan umur dengan beramal ibadat kepadaNya dan memohon agar dijauhkan daripada bala bencana serta memohon agar dimurahkan rezeki yang halal lagi bermanfaat.
Majlis diakhiri dengan sembahyang fardu Isyak berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang.
