(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SIRI 1
BERZIKIR dianjurkan pada setiap hal dan keadaan, sama ada sewaktu hendak duduk, berdiri, ketika hendak tidur, sesudah bangun tidur, ketika mendapat kesusahan, ketika mendapat kesenangan dan sebagainya. Berzikir merupakan tanda seseorang itu mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala (S.W.T) dan menunjukkan sifat kehambaan seorang insan yang secara semulajadinya sentiasa memerlukan perlindungan, ‘inayah serta keberkatan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam semua hal dan keadaan.
Firman Allah S.W.T yang tafsirnya, “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.” (Surah Ali-‘Imran: 190-191)
Antara bukti kebesaran Allah S.W.T serta nikmat kurniaanNya yang tidak ternilai kepada manusia ialah nikmat tidur. Setiap orang memerlukan tidur sepertimana seseorang itu memerlukan makan dan minum. Dengan nikmat tidur itu, seseorang itu akan dapat memulihkan kembali kecerdasan otak serta tenaga setelah digunakan dalam menjalani aktiviti kehidupan sepanjang hari.
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam (S.A.W) seorang insan yang memiliki darjat yang tertinggi di sisi Allah S.W.T, Baginda sentiasa mengingati Allah S.W.T dan sentiasa memohon perlindungan serta keberkatan daripada Allah S.W.T termasuklah ketika Baginda hendak tidur mahupun sesudah jaga. Ini merupakan sunnah Baginda yang tidak pernah Baginda tinggalkan. Baginda juga sering mengingatkan para sahabat Baginda supaya sentiasa mengamalkan sunnah Baginda ini.
Tidur tanpa berzikir kepada Allah S.W.T
Makruh seseorang itu tidur tanpa berzikir terlebih dahulu kepada Allah S.W.T. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan dalam Sunan Abi Daud daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya, “Barangsiapa duduk di suatu majlis tanpa berzikir kepada Allah S.W.T, maka kelak ia pasti akan menjadi sebab sesalannya terhadap dirinya di sisi Allah. Dan barangsiapa yang berbaring di suatu tempat pembaringan tanpa berzikir kepada Allah S.W.T, maka kelak ia pasti akan menjadi sebab sesalannya terhadap dirinya di sisi Allah S.W.T,” (Hadis riwayat Abu Daud).
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, maksud “sebab sesalannya” dalam hadis ini ialah kekurangan. Menurut pendapat yang lain pula, ia bermaksud bebanan. Dengan mengambil kira kedua-dua maksud ini maka tanpa berzikir ketika hendak berbaring untuk tidur adalah suatu kekurangan atau bebanan yang akan ditanggungnya ketika berhadapan dengan Allah S.W.T kelak.
Banyak hadis mahupun atsar yang menyebutkan zikir-zikir yang dianjurkan untuk dibaca ketika hendak tidur. Zikir-zikir ini sebahagiannya berupa ayat-ayat Al-Qur’an dan sebahagiannya lagi bukan berupa ayat-ayat Al-Qur’an.
Zikir-zikir daripada ayat Al-Qur’an yang sunat dibaca ketika hendak tidur
Antara amalan yang biasa dibuat oleh Rasulullah S.A.W dan yang dianjurkan oleh Baginda kepada para sahabat dan umat baginda ketika hendak tidur ialah membaca zikir-zikir yang berupa ayat-ayat Al-Qur’an. Adapun ayat-ayat ataupun surah-surah yang menjadi amalan Baginda serta para sahabat sebelum tidur ialah:
1) Ayat Al-Kursi. Sayyidina ‘Ali Karramallahu wajhah pernah berkata yang maksudnya, “Aku tidak pernah melihat seorang Islam yang berakal akan tidur sebelum membaca ayat Al-Kursi.” (Atsar riwayat Ibnu Abi Syaibah)
2) Dua ayat terakhir daripada surah Al-Baqarah. Iaitu daripada permulaan ayat ke-285 sehinggalah penghujung ayat terakhir surah Al-Baqarah, iaitu penghujung ayat ke-286. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Mas‘ud al-Anshari al-Badri Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawasanya Rasulullah S.W.T telah bersabda yang maksudnya, “Ada dua ayat daripada akhir surah Al-Baqarah; barangsiapa yang membacanya pada malam hari, maka keduanya itu sudah mencukupi baginya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut satu riwayat daripada Sayyidina Ali Karramallahu wajhah pula, disebutkan tiga ayat terakhir daripada surah Al-Baqarah. Iaitu bermula daripada ayat ke-284, sehinggalah penghujung ayat terakhir surah Al-Baqarah. Oleh itu adalah harus juga memulakannya dari ayat 284 hingga akhir surah Al-Baqarah itu berdasarkan riwayat ini.
3) Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk. Jabir Radhiallahu ‘anhu berkata yang maksudnya, “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak akan tidur sehinggalah Baginda membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
4) Surah Bani Israil (yang juga dikenali dengan nama Surah al-Isra‘) dan Surah Az-Zumar. Sayyidatuna ‘Aishah Radhiallahu ‘anha berkata yang maksudnya, “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak akan tidur di tempat tidur Baginda sehinggalah Baginda membaca surah Bani Israil dan surah az-Zumar. ” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
5) Surah al-Kafirun. Naufal al-Ashyja‘i Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah bersabda yang maksudnya, “Bacalah surah al-Kafirun, kemudian tidurlah setelah menyelesaikannya. Kerana sesungguhnya surah tersebut merupakan pembebasan daripada kesyirikan.” (Hadis riwayat Abu Daud)
6) Surah al-Ikhlash serta al-Mu‘awwizatan (surah al-Falaq dan surah an-Naas). Ini dilakukan dengan cara menggabungkan kedua telapak tangan, lalu ditiupkan dengan lembut tanpa mengeluarkan air liur ke kedua telapak tangan, setelah itu dibacakan pada kedua telapak tangan tersebut ketiga-tiga surah ini kemudian disapukan kedua telapak tangan itu ke seluruh anggota tubuh yang mampu dicapai, bermula daripada kepala dan muka serta bahagian hadapan tubuh. Ini dilakukan sebanyak tiga kali.
Hal ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna ‘Aishah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata yang maksudnya, “Sesungguhnya Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam apabila ingin berbaring di tempat tidur Baginda pada setiap malam, Baginda menggabungkan kedua telapak tangan Baginda dan meniup keduanya, lalu membacakan pada keduanya surah al-Ikhlash, surah al-Falaq dan surah an-Naas, kemudian Baginda menyapukan keduanya pada bahagian tubuh yang dapat dicapai oleh Baginda. Baginda memulakan sapuan Baginda pada kepala dan wajah Baginda serta bahagian hadapan tubuh Baginda. Baginda melakukan sedemikian sebanyak tiga kali.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Zikir-zikir yang sunat dibaca ketika hendak tidur
Selain daripada zikir-zikir yang berbentuk ayat-ayat Al-Qur’an, terdapat juga zikir-zikir lain yang bukan ayat-ayat Al-Qur’an yang berupa bacaan takbir, tasbih, tahmid, istighfar dan doa yang menjadi amalan Baginda dan dianjurkan pula kepada para sahabat dan umat Baginda. Antara zikir-zikir tersebut sebagaimana yang dijelaskan dalam beberapa riwayat adalah seperti berikut:
Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan dalam Shahihnya, bahawasanya Rasulullah S.A.W telah berpesan kepada Sayyidina Ali Karramallahu wajhah dan isterinya Sayyidatuna Fatimah Radhiallahu ‘anha supaya mengucapkan takbir tiga puluh tiga kali, tasbih tiga puluh tiga kali dan tahmid tiga puluh tiga kali apabila mereka berdua berada di tempat tidur mereka.
Dalam kitab al-Majmu‘ dan kitab al-Adzkar pula disebutkan satu riwayat yang lain yang menyatakan bahawa tasbih itu dibaca sebanyak 34 kali.
Dalam Sunan at-Tirmidzi, Abu Sa‘ed al-Khudri Radhiallahu ‘anhu telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah S.A.W telah berpesan supaya membaca istighfar di bawah ini sebanyak tiga kali apabila berada di tempat tidur yang bererti : “Aku memohon ampun kepada Allah yang tiada Tuhan yang disembah melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya), dan aku bertaubat kepadaNya.”
Disebutkan juga dalam Sunan at-Tirmidzi, bahawasanya Rasulullah S.A.W telah mengajarkan doa di bawah ini untuk dibaca di waktu pagi, malam dan ketika hendak tidur yang membawa erti, “Ya Allah, Pencipta Langit dan Bumi, Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata. Tuhan segala sesuatu dan Pemiliknya. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau. Aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan diriku dan daripada kejahatan syaitan serta sekutunya.”
Dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim pula diriwayatkan bahawasanya Rasulullah S.A.W telah menyarankan kepada al-Barra bin ‘Aazib Radhiallahu ‘anhu supaya berwudhu sebelum tidur, kemudian membaca doa di bawah ini setelah berbaring supaya jika dia mati di dalam tidurnya, dia akan mati dalam keadaan fitrah.
Rasulullah S.A.W juga bersabda bahawa sebaiknya doa ini dijadikan sebagai ucapan yang terakhir sebelum tidur yang membawa erti, “Ya Allah, aku serahkan diriku kepadaMu, dan aku serahkan segala urusan kepadaMu, dan aku menyandarkan belakangku kepadaMu kerana penuh harapan serta rasa takut kepadaMu. Tiada tempat berlindung dan tiada tempat selamat daripada kekuasaanMu melainkan kepadaMu. Aku beriman dengan KitabMu yang telah Engkau turunkan, dan dengan NabiMu yang telah Engkau utuskan.”
Diriwayatkan juga dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim, bahawasanya Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah S.A.W telah berpesan supaya membaca doa berikut ketika hendak tidur yang membawa erti, “Dengan namaMu wahai Tuhanku, aku meletakkan lambung rusukku; dan dengan namaMu juga aku mengangkatnya. Jika Engkau menahan (mengambil) nyawaku, maka rahmatilah ia; dan jika Engkau melepaskannya (mengembalikannya semula kepadaku), maka peliharalah ia sebagaimana Engkau memelihara hamba-hambaMu yang soleh.”
Ummu al-Mukminin Sayyidatuna Hafshah Radhiallahu ‘anha pula menceritakan sepertimana yang diriwayatkan dalam Shahih al-Bukhari dan Sunan Abi Daud, bahawasanya Rasulullah S.A.W apabila hendak tidur, Baginda akan meletakkan telapak tangan kanan Baginda di bawah pipi Baginda, kemudian Baginda akan mengucapkan doa ini sebanyak tiga kali yang membawa erti, “Ya Allah, peliharakanlah diriku daripada azab siksaMu pada hari Engkau membangkitkan hamba-hambaMu.”
Bersambung minggu depan