Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Higgo hampiri gelaran Jelajah PGA AS

    WASHINGTON, 5 OKT – Pemain dari Afrika Selatan, Garrick Higgo, menghampiri gelaran Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) keduanya pada 2025 selepas mencatat 67, lima bawah par, untuk mengambil pendahuluan dua pukulan selepas tiga pusingan Kejohanan Sanderson Farms, kelmarin.
     
    Higgo menjaringkan enam birdie dengan satu bogey di Country Club of Jackson, Mississippi, sekali gus membina jumlah keseluruhan 18 bawah par sebanyak 198.
     
    Memulakan hari dengan kelebihan satu pukulan, dia kini dua pukulan di hadapan pemain Amerika, Steven Fisk dan Danny Walker. Fisk mencatat tujuh birdie dalam 65, tujuh bawah par, manakala Walker pula mencatat satu eagle dan tujuh birdie, termasuk lima berturut-turut untuk menamatkan pusingannya dengan 67.
     
    Kejohanan tersebut adalah yang kedua dalam Siri Musim Gugur PGA AS, yang menampilkan pemain bersaing untuk memastikan kedudukan mereka musim depan dengan sekurang-kurangnya di atas 100 dalam carta.
     
    Higgo, yang berada di tangga ke-88, sudah dijamin hak bermain pada tahun hadapan selepas kemenangan di Kejohanan Corales Puntacana pada April. 
     
    Sejak itu, prestasinya mula terjejas akibat kecederaan pinggul, namun dia masih berpeluang layak ke acara elit sekiranya berjaya menembusi kelompok 50 teratas. – AFP
     
    Aksi Garrick Higgo semasa melakukan pukulannya dari tee ke-15 pada Kejohanan Sanderson Farms 2025 di The Country Club of Jackson, Mississippi pada 4 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda