Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Higuain umum persaraan

    BUENOS AIRES, 29 Mac – Penyerang Argentina Gonzalo Higuain mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa sambil memberitahu pengkritik ‘saya memberikan segalanya’ untuk Albiceleste.

    Menurut Higuain dia kini boleh memberikan lebih perhatian kepada keluarganya dan tumpuan kepada kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

    Penyerang 31 tahun kelahiran Perancis itu menamatkan karier antarabangsanya dengan 75 kap, penampilan pertama pada tahun 2009 ketika kelayakan Piala Dunia 2010 menentang Peru dan meledak satu gol.

    Kemenangan 2-1 ke atas Nigeria di Piala Dunia 2018 adalah penampilan terakhirnya untuk negara. Dia menamatkan karier antarabangsanya dengan 35 gol.

    Pentas antarabangsa Higuain menyaksikan dia terlepas peluang menjulang Piala Dunia 2014 apabila Argentina tewas kepada Jerman di final dan kekalahan final Copa America 2015 serta 2016.

    Higuain (depan) ketika beraksi menentang Spurs di Stadium Stamford Bridge pada 27 Februari 2019. Higuain mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa. – Xinhua

    Walaupun begitu hampir untuk meraih trofi utama itu Higuain masih mampu berbangga dengan pencapaiannya.

    “Untuk beraksi di tiga final dan tewas kesemuanya bukanlah satu kegagalan,” kata Higuain kepada Fox Sport Argentina.

    “Orang akan ingat kesilapan anda, bukan apa yang anda capai,” katanya.

    “Mereka yang mengecam pasti menangis gembira ketika saya menjaringkan gol menentang Belgium untuk mara ke separuh akhir (Piala Dunia 2014). Itulah bola sepak.

    “Jelas sekali apabila kritikan terlalu teruk ia akan menyakitkan semua orang. Saya berkorban semuanya untuk pasukan. Keluarga saya lebih terseksa berbanding saya.”

    Di peringkat kelab, Higuain mengumpul dua kejuaraan La Liga bersama Real Madrid pada tahun 2007 dan 2008, serta membantu Juventus muncul juara Itali pada tahun 2017 dan 2018.

    Sejak tiba di Stamford Bridge dari Juventus secara pinjaman Januari lalu, dia meledak tiga kali dalam 10 penampilan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda