Saturday, March 15, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hijabeuses bantah keputusan FFF

    PARIS, 29 JUN – Mahkamah pentadbiran tertinggi Perancis hari ini akan memutuskan sama ada wanita boleh memakai hijab dalam perlawanan bola sepak rasmi, dalam keputusan yang telah mencetuskan ketegangan politik.

    Kes itu muncul ketika parti politik berhaluan kanan jauh mendapat sokongan tinggi dalam undian, memaksa parti-parti utama, termasuk parti Presiden Emmanuel Macron, untuk menekankan prinsip-prinsip sekular negara.

    Sekumpulan pemain bola sepak wanita Islam yang dipanggil Hijabeuses melancarkan tindakan terhadap Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF), yang peraturannya kini mengharamkan tudung dalam pertandingan bersama-sama dengan ‘sebarang tanda atau pakaian yang jelas menunjukkan gabungan politik, falsafah, agama atau kesatuan.’

    Kumpulan itu menerima sokongan Isnin lalu apabila penasihat undang-undang negeri membuat kesimpulan bahawa peraturan itu tidak wajar, semasa perbicaraan di Majlis Perlembagaan Perancis, di mana kes itu sedang dibicarakan.

    Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin, seorang penegak undang-undang dan ketertiban, berkata Selasa lalu, “Saya amat berharap kepada republik untuk (hakim) menegakkan neutraliti dalam bidang sukan.”

    Bangunan Persekutuan bola sepak Perancis (FFF) yang terletak di ibu pejabat persekutuan, di Paris. – AP

    Darmanin turut menambah, Hijabeuses berharap untuk memberikan ‘tekanan’ kepada republik.

    “Dalam sukan, awda tidak sepatutnya melihat sesuatu pakaian sebagai berunsur keagamaan ketika bermain bola sepak, malahan awda tidak perlu mengetahui agama lawan awda,” katanya.

    Suara-suara lain dari parti Republikan konservatif dan Perhimpunan Nasional berhaluan kanan juga turut memberikan pandangan.

    Pemimpin haluan kanan, Marine Le Pen menulis di Twitter: “Tidak kepada hijab dalam sukan. Dan kami akan meluluskan undang-undang untuk memastikan ia dihormati.”

    Ketua Republikan Eric Ciotti berkata partinya, yang hanya memegang 62 kerusi di parlimen Perancis yang mempunyai 577 kerusi, akan memperkenalkan rang undang-undang mengenai topik itu jika mahkamah membenarkan hijab. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda