Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Tahun Baharu Hijrah merupakan detik bersejarah kerana ia memperingati perjuangan Rasulullah SAW di peringkat awal Islam.
Hijrah juga menjadi lambang perpaduan dan memberi makna cukup besar kepada pembangunan tamadun umat Islam.
“Awal Tahun Hijrah yang setiap tahun kita sambut dan raikan sebenarnya perlu difahami dan dihayati agar kita dapat memenuhi tuntutan dan mengambil iktibar daripadanya,” tekan khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk Memahami dan Menghayati Pengertian Hijrah.
Menurutnya lagi, makna hijrah itu bukan saja bererti berpindah dari suatu tempat yang lain tetapi meninggalkan sesuatu perbuatan yang tidak baik.
Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abdullah bin ‘Amr.

“Dan orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.”
Selaras dengan semangat hijrah, pelbagai program seperti forum, ceramah, bengkel dan aktiviti keagamaan dianjurkan di seluruh negara.
Ini membuktikan kesungguhan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam dalam menghayati serta mengambil pengajaran daripada peristiwa agung tersebut.
Namun begitu, penganjuran sambutan Tahun Baharu Hijrah tidak akan memberi makna jika tiada kesedaran untuk meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT.
Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu menyedari terdapat sikap dan peribadinya yang kurang elok seperti kurang sabar, malas, mudah putus asa atau sikap negatif lain, maka wajarlah untuk melakukan ‘hijrah diri’, dengan memperbaiki akhlak serta menggantikan sifat-sifat tersebut kepada sifat mahmudah atau terpuji.
Sesungguhnya penghijrahan seperti ini bukan sahaja membawa manfaat kepada individu bahkan turut memberi kesan positif kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Usaha ke arah memperbaiki amalan, pemikiran serta ketakwaan perlu sentiasa diperkasakan demi memperoleh keredaan Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 74: “Dan orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah, serta orang-orang (Ansar) yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang muhajirin itu), mereka itulah orang-orang yang beriman sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia (yang tidak putus-putus di syurga).”
Dalam menuju kehidupan yang lebih baik dan diberkati, umat Islam perlu berusaha meninggalkan amalan yang membawa kerosakan dan kebinasaan hidup, terutamanya perkara yang jelas dilarang oleh syarak.
Keyakinan kepada bantuan dan rahmat Allah SWT adalah kunci kepada kekuatan untuk berubah.
Akhir kata, sempena Tahun Baharu Hijrah 1447 ini, marilah kita bersama-sama bermuhasabah, bertaubat serta memohon keampunan daripada dosa-dosa yang lalu.
Jadikan bulan Muharam ini sebagai titik permulaan untuk memperbaiki diri dengan memperbanyakkan ibadah, zikir, membaca Al-Quran serta memperindah akhlak dalam keluarga, masyarakat dan tempat kerja.

