Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Penghijrahan kepada kehidupan yang lebih baik merupakan satu detik permulaan ke arah perubahan yang mulia, kerana maksud hijrah itu ialah meninggalkan segala larangan Allah Subhanahu Wata’ala demi mencari keredaan-Nya.
Hijrah juga merupakan satu ujian yang memerlukan pengorbanan bagi umat Islam untuk melawan hawa nafsu, di samping melakukan perkara berkebajikan semata-mata untuk mencari keredaan Allah, bukan untuk dipandang mulia oleh sesama manusia.
Demikian antara intipati ceramah yang disampaikan oleh penceramah undangan Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Jufri bin Haji Hidup pada Majlis Sambutan Awal Tahun Baru Hijrah 1439 Pasukan Polis Diraja Brunei yang berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong.
Ceramah antara lain juga menjelaskan mengenai penghijrahan yang merangkumi hijrah jasmani dan hijrah rohani, yang mana hijrah jasmani melihat kepada kesihatan tubuh badan dan cara penampilan berpakaian dan penutupan aurat dengan sempurna. Manakala dari sudut hijrah rohani pula, ianya memperlihatkan keperibadian diri dengan mempertingkatkan amal ibadat untuk mendapatkan keredaan Allah Subhanahu Wata’ala dengan memperbanyakkan zikir. Hijrah rohani boleh dilakukan dengan cara seperti menghadiri majlis ilmu atau majlis keagamaan. Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Haji Mohd Irwan bin Haji Hambali dan isteri.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah AI-Islam.
Majlis tersebut diselajurkan dengan Doa Selamat bagi meraikan jemaah haji yang baru sahaja pulang menunaikan ibadah haji tahun ini.
Majlis seumpamanya merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan Pasukan Polis Diraja Brunei yang bertujuan untuk memperingati dan mem-besarkan Sambutan Awal Tahun Hijrah 1439, di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.