Selasa, Julai 29, 2025
33 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hijrah merangkumi perubahan sikap, pemikiran dan amal ibadah lebih baik

    Oleh Yusrin Junaidi –

    TUTONG, 28 JULAI – Sempena menyambut Tahun Baharu Hijrah 1447, para peserta Kelas Bimbingan Muslimah Zon 2 Daerah Tutong telah menghadiri Ceramah Khas Ilal Hijrah, hari ini.

    Ceramah anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampung Sungai Kelugos itu bertujuan untuk memperjelas konsep Ilal Hijrah dan memberi peluang kepada peserta untuk menghayati peristiwa agung penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah.

    Ia juga menyeru para Muslimah agar terus melakukan perubahan positif dalam diri, seiring dengan semangat hijrah yang merupakan asas penting dalam ajaran Islam.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar yang dipimpin oleh Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin.

    Majlis diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Ugama, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong, Haji Azman bin Haji Musa yang menekankan penghijrahan bukan sahaja dari segi tempat, tetapi merangkumi perubahan sikap, pemikiran dan amal ibadah ke arah yang lebih baik.

    Beliau turut menyeru para peserta untuk sentiasa mengambil pengajaran daripada peristiwa hijrah, dalam membentuk jati diri Muslimah beriman, berilmu dan berakhlak mulia, serta menanamkan budaya saling menyokong dalam menghadapi cabaran kehidupan moden.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Bilal Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Awang Mohd Noor Zakwan bin Haji Mohamad Noor.

    Acara seumpama ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Ilal Hijrah, bahkan menjadi platform memperkukuh silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan Muslimah, di samping menanam nilai hijrah sebagai asas pembentukan masyarakat yang sejahtera dan berdaya tahan menghadapi cabaran zaman.

    Gambar ramai semasa ceramah khas Ilal Hijrah yang diadakan kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda