Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Hikmah amalan ziarah-menziarahi

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Syawal telah beberapa hari kita raikan, kemeriahannya masih lagi dirasakan dengan amalan ziarah-menziarahi dan kunjung-mengunjungi sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga dengan mengadakan rumah terbuka.

    Amalan ziarah-menziarahi dan mengadakan rumah terbuka mempunyai banyak hikmah dan kelebihan yang sangat bermakna bagi umat Islam terutama sekali dalam menghubung dan merapatkan lagi ikatan persaudaraan sesama Islam.

    Agama Islam menyeru umatnya agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan ikatan silaturahim dan ukhuwah sesama insan, apatah lagi sesama Islam.

    Dalam khutbah Jumaat bertajuk Amalan Ziarah-menziarahi, hari ini, khatib menambah, berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat, ayat 10 yang tafsirnya ‘Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

    “Berziarah adalah amalan yang dituntut dalam agama Islam yang patut kita pelihara dan hidupkan. Ini kerana, amalan ini mempunyai fadilat dan kelebihan,” jelas khatib.

    Gambar Freepik

    Khatib turut menjelaskan, Rasulullah SAW dalam hadis Baginda ada menyebutkan perihal kelebihan ataupun fadilat ziarah. Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda sebagaimana maksudnya ‘Barang siapa menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya sesama Islam dengan berkata: Engkau telah mendapat kebaikan hidup (di dunia dan di akhirat), dan engkau telah menempatkan atau menyediakan bagi dirimu satu martabat yang tinggi di syurga. (hadis riwayat Imam Tirmidzi)

    “Sesungguhnya amalan ziarah-menziarahi atau kunjung mengunjungi memberikan manfaat yang amat besar. Amalan ziarah-menziarahi membolehkan hubungan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai dan sebagainya.

    “Maka dengan amalan ziarah akan terbentuklah satu ikatan kasih sayang yang dapat mengeratkan sesama insan serta mengeratkan hubungan silaturahim. Dengan hubungan silaturahim ini, kita akan dapat saling kenal-mengenali antara satu sama lain, hormat-menghormati, saling kerjasama dan faham-memahami sesama kita,” tambah khatib.

    Dalam pada itu, khatib turut menambah bahawa agama Islam telah menggariskan beberapa peraturan dan adab ketika kita berkunjung, antaranya ialah memberi salam dan meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk ke rumah yang hendak diziarahi; mengetuk pintu atau membunyikan loceng rumah dengan perlahan sekira-kira boleh didengar oleh tuan rumah atau penghuni rumah; dan hendaklah memperkenalkan diri sebelum masuk.

    “Perlu diingat, bagi mereka yang hendak pergi berziarah agar memilih masa yang sesuai untuk berkunjung. Sesungguhnya pemilihan waktu berziarah yang bersesuaian ini dapat memberikan peluang kepada tuan atau penghuni rumah tersebut bersedia menerima pengunjung dengan selesa,” tekan khatib.

    Tambahnya, sebagaimana lazimnya di negara kita, sambutan hari raya diadakan dalam pelbagai bentuk seperti mengadakan rumah terbuka. Amalan ini adalah amalan yang berkebajikan kerana boleh mengeratkan hubungan silaturahim dan boleh menghimpunkan saudara-mara yang jauh dan yang dekat.

    “Walau bagaimanapun, mengadakan rumah terbuka ini bukanlah menjadi satu kewajipan sehingga membebankan, dan hendaklah diadakan mengikut kemampuan masing-masing,” tegas khatib.

    Khatib turut mengingatkan, apa yang penting majlis tersebut hendaklah mengikut lunas ajaran agama Islam dan tidak dicampur adukkan antara yang hak dengan yang batil seperti pergaulan bebas dan bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan bersuka ria tanpa batas.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...