Sunday, December 22, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hikmah dan syarat-syarat bertaubat menurut Islam

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti kerajaan

    Kehidupan manusia tiada sunyi daripada khilaf dan silap. Khilaf dan silap inilah kadang-kadang boleh membawa pada berlakunya dosa. Kadang-kadang kita sedar dan kadang-kadang pula kita tidak menyedarinya. Disebabkan itulah umat Islam disuruh sentiasa bertaubat daripada dosa, sama ada dari dosa kecil atau dosa besar. Ini kerana jika ternyata dosa ada dilakukannya, tidak syak lagi dosa-dosa inilah yang akan menyeret seseorang itu ke lembah api neraka jika taubat tidak dilakukan dengan segera. Lebih-lebih lagi jika dosa itu dilakukannya dengan sengaja.

    Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala adalah Maha Pengampun. Setiap dosa yang dilakukan oleh hambaNya selama mana seseorang itu memohon keampunan kepadaNya sebelum datang ajalnya, maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan mengampuninya. Bahkan, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjanjikan banyak kebajikan dan keistimewaan kepada para hambaNya yang bertaubat.

    Sebagai hamba Allah Subhanahu wa Ta‘ala, kita perlu sentiasa bertaubat. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, kekasih Allah Subhanahu wa Ta‘ala, manusia yang paling mulia di dunia, juga sentiasa bertaubat memohon ampun kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Walaupun Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberikan keampunan terhadap dosa Baginda yang lalu dan yang akan datang, namun Baginda tidak pernah berhenti bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Bahkan disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bertaubat lebih daripada tujuh puluh kali setiap hari. Dalam riwayat al-Aghar bin Yassar Radhiallahu ‘anhu pula, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam memberitahu bahawa Baginda bertaubat setiap hari sebanyak seratus kali.

    Foto Canva

    PENGERTIAN TAUBAT

    Menurut Al-‘Allamah al-Jurdani Rahimahullah dalam kitab Fath al-‘Allam bahawa taubat itu merupakan asal setiap tempat dan kedudukan dan ia merupakan semulia-mulia kedudukan. Ia serupa tanah untuk binaan.

    Sesiapa yang tidak bertaubat, maka tiada baginya tempat atau kedudukan sebagaimana seseorang yang tiada memiliki tanah, maka tiada binaan baginya.

    Al-‘Allamah al-Jurdani Rahimahullah seterusnya menyebutkan bahawa maksud taubat itu ialah kembali daripada sifat-sifat keji kepada sifat-sifat terpuji. Disebutkan bahawa sesiapa yang kembali daripada perkara-perkara yang menyalahi (syariat kerana) takut akan azab Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka itu adalah taubat.

    Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, taubat itu bermaksud berhenti daripada melakukan dosa.

    Imam al-Ghazali Rahimahullah menjelaskan pengertian taubat itu tersusun dari tiga perkara, iaitu:

    a. Ilmu: Iaitu mengenal tentang besarnya bahaya dosa. Dosa dianggap sebagai racun yang membinasakan atau sebagai tabir yang memisahkan antara hamba dengan yang dicintainya. Sebab sudah menjadi tabiat, hati akan rasa pedih bila berpisah dengan kekasih. Jika terpisah disebabkan perbuatannya, maka hati akan menyesali perbuatan itu.

    b. Keadaan: Iaitu yang dinamakan iradat (kemahuan) dan qasad (niat) yang akan mendorong melakukan sesuatu perbuatan yang berhubungan dengan masa sekarang, masa yang telah lalu dan masa yang akan datang.

    c. Perbuatan (yang berhubung dengan masa sekarang): Iaitu meninggalkan segala dosa yang bergelumang dalam dirinya.

    Ketiga ini tersusun dan berkait rapat. Adanya ilmu (besarnya bahaya dosa) menyebabkan timbulnya keadaan (kemahuan dan niat untuk meninggalkan dosa), manakala wujudnya keadaan menyebabkan berlakunya perbuatan.

    Maka ilmu, penyesalan dan niat dengan keazaman untuk meninggalkan kesalahan inilah yang dinamakan taubat.

    HUKUM TAUBAT DAN DALIL PENSYARIATAN-NYA

    Hukum bertaubat adalah wajib berdasarkan al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Menariknya, ayat-ayat al-Qur’an mengenai taubat tidak hanya berbentuk perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada para hambaNya semata-mata, bahkan berbentuk pengkisahan, antaranya kisah taubat Nabi Yunus ‘alaihissalam, atau berbentuk doa-doa yang boleh diamalkan, antaranya doa taubat Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim ‘alaihimassalam. Antara ayat-ayat al-Qur’an menyebut mengenai taubat:

    1) Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari (Kiamat) yang Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya, cahaya (iman dan amal salih) mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka sambil mereka berkata: “Ya Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

    (Surah at-Tahrim: 8)

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda