Friday, November 22, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hikmah dan syarat-syarat bertaubat menurut Islam

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sambungan dari minggu lepas

    2) Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi yang tafsirnya:
    Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman, mudah-mudahan kamu beroleh kemenangan.
    (Surah an-Nur: 31)

    3) Hadits Qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Dzarr Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam bersabda bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang maksudnya:
    Wahai hambaKu! Sesungguhnya kamu berbuat dosa malam dan siang, dan Aku mengampunkan semua dosa, maka kamu minta ampunlah kepadaKu nescaya Aku mengampunkan kamu.
    (Hadits riwayat Muslim)

    Juga terdapat dalam beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang tuntutan bertaubat ini, antaranya:

    1) Daripada Ibn ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
    Wahai manusia! Bertaubatlah kamu kepada Allah, kerana sesungguhnya aku
    bertaubat kepadaNya dalam sehari seratus kali.
    (Hadits riwayat Muslim)

    Gambar Canva

    2) Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
    Wahai sekalian manusia! Bertaubatlah kamu kepada Allah sebelum kamu mati. Bersegeralah berbuat amal salih sebelum masa kamu dipenuhi (sibuk) oleh urusan dan kerja.

    Hubungkanlah pertalian di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan memperbanyak ingatan (berzikir) kepadaNya.
    (Hadits riwayat Ibnu Majah)

    HIKMAH DIPEROLEH DISEBABKAN BERTAUBAT

    Bertaubat itu tidak hanya dilihat sebagai perbuatan memohon keampunan semata-mata. Ia mengandungi banyak hikmah yang sukar untuk dicapai oleh pemikiran biasa.

    Hikmah itu ada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebutkan secara khusus, istimewa bagi orang-orang yang banyak bertaubat memohon keampunan dengan sebenar-benar taubat.

    Antaranya:
    1. Memperoleh kecintaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana firmanNya yang tafsirnya:
    Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri.
    (Surah al-Baqarah: 222)

    2. Menjadi penolak azab Allah Subhanahu wa Ta‘ala. FirmanNya yang tafsirnya:
    Dan Allah sekali-kali tidak akan menyeksa mereka selama mereka beristighfar (memohon ampun).
    (Surah al-Anfaal: 33)

    3. Menerima jaminan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan memperoleh kebaikan daripada kejahatan lalu sebagaimana firmanNya yang tafsirnya:
    Tetapi orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amalan salih, maka mereka itulah yang kejahatan mereka digantikan dengan kebaikan. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.
    (Surah al-Furqan: 70)

    4. Menikmati kelancaran dan keluasan rezeki. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
    Maka aku berkata (kepada mereka): Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, se-sungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. (Jika kamu berbuat demikian), nescaya Dia akan mencurahkan hujan yang lebat kepada kamu.
    (Surah Nuh: 10-11)

    SYARAT-SYARAT TAUBAT

    Islam menggariskan syarat-syarat bagi seseorang yang ingin bertaubat, sama ada bertaubat dari dosa yang dilakukan manusia itu menyentuh hak Allah Subhanahu wa Ta‘ala (dosa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala) atau menyentuh hak sesama manusia itu sendiri (dosa kepada orang lain).

    Sesuatu taubat itu tidak dianggap sempurna kecuali dengan memenuhi syarat-syarat berikut:
    a. Bertaubat dari dosa di antara hamba dengan Allah Subhanahu Ta‘ala baginya tiga syarat, iaitu:

    a. Berhenti dari mengerjakan dosa yang dilakukan.

    b. Menyesal dengan sungguh-sungguh di atas dosa yang telah dilakukannya.

    c. Berazam dengan bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi dosa tersebut dan juga apa-apa yang dilarang oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Dosa-dosa yang dimaksudkan ini adalah merangkumi dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar.

    Antara contoh dosa besar ialah meninggalkan sembahyang fardhu lima waktu, meninggalkan puasa Ramadhan, minum arak, berzina, membunuh dan sebagainya.

    Di dalam Tafsir al-Qurthubi disebutkan bahawa jika dosa yang menyentuh hak Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti meninggalkan sembahyang fardhu lima waktu, maka tidak sah taubat seseorang kecuali dia menyesal akan dosanya itu serta mengqadha sembahyangnya yang tertinggal.

    Begitu juga dengan perbuatan meninggalkan puasa wajib atau mencuaikan mengeluarkan zakat, tidak sah taubatnya kecuali dia mengqadha puasa yang tertinggal atau mengeluarkan zakat (jika sampai haul dan nisab) dan berazam untuk tidak meninggalkan puasa atau zakat yang diwajibkan ke atasnya.

    b. Bertaubat dari dosa berhubung sesama manusia, baginya 4 syarat, iaitu:
    a. Berhenti dari mengerjakan dosa yang dilakukan.

    b. Menyesal dengan sungguh-sungguh di atas dosa yang telah dilakukannya.

    c. Berazam dengan bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi dosa tersebut dan juga apa-apa yang dilarang oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    d. Meminta lepaskan dosa itu daripada empunya hak.

    Contohnya:
    • Jika dosa itu berkaitan dengan harta, umpamanya dia mengambil harta orang lain, maka hendaklah dia mengembalikan harta tersebut kepada empunya harta
    • Jika dosa itu berkaitan dengan hadd qadzaf, umpamanya dia menuduh seseorang melakukan zina, maka hendaklah dia serahkan dirinya untuk dihadd kepada
    orang yang dituduhnya atau dia meminta maaf
    • Jika dosa itu berkaitan dengan mengumpat, maka hendaklah dia meminta maaf kepada orang yang diumpatnya.

    Tidak sah taubat seseorang (yang dosanya berkaitan dengan hak manusia) kecuali jika dia mengembalikan semula kepada orang tersebut sama ada dikembalikan secara ‘ain (fizikal) seperti wang dan yang seumpamanya atau secara yang lain seperti meminta maaf,
    jika dia mampu (untuk meminta lepaskan dosa dari empunya hak secara ‘aini atau selainnya).

    Jika sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dia berazam untuk menunaikannya bila dia mampu pada waktu sesegeranya.

    Seseorang berkewajipan untuk bertaubat dari dosa yang pernah dilakukannya, apatah lagi dari dosa besar.

    Dosa besar itu pula tidak boleh menjadikannya berputus asa dari rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala Yang Maha Tinggi.

    Sebab Allah itu Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

    Dosa sebesar apapun, jika dibandingkan dengan rahmat dan kurniaNya, maka dosa-dosa itu adalah sangat ringan dan kecil. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
    Sesungguhnya Tuhanmu sangat luas keampunannya.
    (Surah an-Najm: 32)

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda