Oleh Salawati Haji Yahya
BANDR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Bagi mengawal penularan COVID-19 daripada terus merebak di negara ini, pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah pencegahan dengan melaksanakan sekatan keluar negara, dan bagi segelintir perniaga langkah tersebut mempunyai hikmahnya kerana kini ramai yang memilih untuk berbelanja di negara sendiri.
Dalam tinjauan media, hari ini, pekerja di beberapa buah kedai dan pasar di negara ini melahirkan rasa syukur atas sumbangan orang ramai yang berbelanja di dalam negeri yang dapat membantu mereka untuk terus kekal bekerja.
Awang Muntaz bin Haji Kambuh, 33, salah seorang pekerja di sebuah pasar raya, berkongsi hikmah di sebalik COVID-19 di negara ini, di mana semua negara berhadapan dengan masalah ekonomi yang merudum.
“Walaupun pada masa ini, banyak perniagaan terpaksa gulung tikar akibat perniagaan yang semakin berkurangan dan mengelakkan daripada terus membayar sewa dan hutang, kami yang bekerja di syarikat yang membekalkan barangan keperluan harian masih dapat bertahan sehingga hari ini,” ujarnya.
Beliau melahirkan rasa syukur, sejak tegahan keluar negara, ramai pelanggan yang datang untuk berbelanja barangan keperluan harian di kedai berkenaan dan peningkatan jumlah pendapatan itu jelas dilihat dengan penambahan jumlah pekerja yang dulunya hanya sembilan orang dan kini sudah meningkat kepada 14 orang yang semuanya dalam kalangan anak tempatan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2020/06/page-6-B_27062020-1.jpg)
Dengan sokongan dan sumbangan rakyat di negara ini yang berbelanja dalam negara secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan pengangguran sekali gus dapat memberi peluang kepada anak tempatan mengisi jawatan tersebut.
Manakala itu, pemilik kedai runcit yang dijalankan oleh anak tempatan di kawasan Berakas pula menjelaskan, sejak penduduk tidak dibenarkan keluar negara, ramai yang telah berusaha menyesuaikan diri untuk berbelanja dalam negeri sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negara.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Tassim, 57, telah menjalankan perniagaan kedai runcit ini sejak tujuh tahun yang lalu.
Menurutnya, perubahan dan peniagaan miliknya yang lebih menumpukan menjual barangan keperluan asasi dilihat menunjukkan peningkatan pada penghujung Februari awal tahun ini.
“Peningkatan tersebut lebih ketara pada pertengahan Mac yang lepas apabila negara mula mencatat jangkitan COVID-19 di negara ini di mana sesetengah pihak telah membuat perbelanjaan panik,” jelasnya.
Katanya lagi, “Walaupun pada masa ini, negara tidak mencatat sebarang jangkitan lagi lebih dari 40 hari ditambah tegahan keluar negara, Alhamdulillah perniagaan kedai runcit ini terus menerima ramai pelanggan”.
Mengulas mengenai sesetengah peniaga yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda pada masa ini, beliau berkata, dalam keadaan negara berhadapan mengawal penularan wabak ini seterusnya membantu meningkatkan ekonomi negara dengan melakukan perbelanjaan di dalam negara, pemilik perniagaan dan pemilik kedai runcit juga perlu mempunyai fikiran yang waras.
“Dengan menaikkan harga barangan yang berlebihan terutama bagi barangan yang menjadi keperluan, pasti ia akan menjejaskan perniagaan mereka, kerana pelanggan akan membuat perbandingan sebelum membeli sesuatu barangan yang mereka perlukan.
“Jika sebuah kedai itu sudah menawarkan harga yang jauh lebih mahal dengan kedai yang satu, sudah pasti pelanggan akan memilih untuk membeli barangan keperluan mereka di kedai yang menawarkan harga yang berpatutan,” jelasnya.
Menurut beliau, hilangnya seorang pelanggan sudah tentu memberi kepada impak hasil pendapatan bagi sesebuah perniagaan itu.