Penyanyi Sufian Suhaimi mengongsikan berita yang amat menyedihkan, seorang saudara terdekatnya telah disahkan menghidap kanser tahap tiga.
“Raya kali ini lebih emosi sebab awal tahun ada ahli keluarga rapat saya didiagnos kanser payudara,” kata Sufian kepada kosmo.
Bagaimanapun, Sufian, 33, enggan mendedahkan identiti famili dimaksudkan selain bersyukur ujian dilalui mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan.
“Jadi terkejut bila dapat tahu, hari yang gelap awal-awal. Masing-masing masih lagi sukar terima hakikat macam mana boleh terjadi dan apa puncanya.
“Namun, kami reda dan Alhamdulillah dia sangat kuat. Nampak perkembangan baik selepas beberapa kali menjalani kemoterapi walaupun bulu mata dan rambut sudah gugur.
“Hikmah di sebalik ujian, kami sekeluarga jadi lebih rapat. Saudara-mara yang jauh ramai datang menziarah, walaupun berat tetapi tahun ini sangat bermakna kerana dapat bina ukhwah keluarga lebih rapat dan kuat,” katanya kepada Kosmo! Online semasa majlis Ritma Riang Raya 2025 bersama Rusa Music.
Dalam masa sama, pelantun lagu Di Matamu itu bersyukur apabila ahli keluarganya itu menunjukkan perkembangan baik dan berpendapat sokongan keluarga serta rakan memang penting di saat genting.
“Alhamdulillah, perkembangan dia sangat baik dan doktor cakap proses penyembuhan agak cepat dan harap dia sembuh macam biasa.
“Nampak peluang untuk sembuh sangat cerah. Bagi saya penting sebagai keluarga dan kawan-kawan beri sokongan,” kata Sufian. – Agensi
