Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hikmah korban tanda ketaatan

    Oleh Yusrin Junaidi

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – ‘Pengertian Ibadah Korban’ merupakan tajuk forum sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha yang dianjurkan oleh Masjid Kampung Tanah Jambu, malam tadi, yang bertujuan untuk memberi penerangan lebih mendalam tentang ibadah korban yang sempurna.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Haji Mohd Yusra bin Haji Mohd Salleh. Turut hadir ialah para jemaah masjid yang terdiri daripada penduduk Kampung Tanah Jambu dan persekitarannya.

    Ahli panel forum berkenaan ialah Haji Mohd Khairul Nazif bin Haji Awang Damit selaku panel pertama dan Dr. Achmad Yani selaku panel kedua dengan dipengerusikan oleh Awang Hamzah bin Haji Jaili.

    Haji Mohd Yusra bersama tetamu yang lain hadir pada forum ibadah korban di Masjid Kampung Tanah Jambu, malam tadi.
    Haji Khairul Nazif dan Dr. Achmad Yani ketika menyampaikan forum tentang Pengertian Ibadah Korban.

    Forum berkenaan antara lain menyentuh mengenai ibadah korban yang mana, hukum melakukan ibadah ini adalah Sunat Muakkadah iaitu sunnah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup dan banyak lagi perkara tentang ibadah korban.

    Hikmah berkorban adalah bagi memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim yang sanggup menyahut perintah Allah S.W.T untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail Alaihissalam di samping melahirkan tanda syukur kepada Allah S.W.T terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah ruah dan menanamkan perasaan kasih sayang antara si kaya dengan si miskin.

    Syarat sah korban adalah haiwan yang hendak dikorbankan itu hendaklah dalam keadaan sempurna tanpa ada kecacatan yang nyata dan mengurangkan daging atau memudaratkan kesihatan, dilakukan pada waktu yang dikhususkan dan hendaklah disertakan dengan niat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda