Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Al-Quran diturunkan dalam dua peringkat, iaitu pertama diturunkan pada malam Lailatulqadar dan kedua, diturunkan secara beransur-ansur.
Penolong Pensyarah Fakulti Usuluddin, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Haji Mohd Azmi bin Haji Omar dalam Taklim Ulum Al-Quran sempena Nuzul Al-Quran 1441H/2020M yang diadakan secara dalam talian, hari ini, telah mengongsikan hikmah penurunan Al-Quran secara beransur-ansur.
Beliau berkata, hikmah kenapa Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur telah dibahaskan dan antara hikmahnya itu ialah untuk meneguhkan, menenangkan hati Baginda Nabi Muhammad SAW dan juga untuk hiburan Baginda sebagaimana dakwah Rasulullah SAW di Mekah selama 10 tahun penuh dengan rintangan, cabaran-cabaran yang Baginda hadapi sehingga Baginda SAW hampir-hampir saja seolah-olah berputus asa.
Namun dengan turunnya Al-Quran, jelas beliau, dapat menenangkan, meneguhkan hati Baginda dan juga sebagai hiburan sesuai dengan firman Allah SWT “Dan mereka (orang-orang kafir) mengatakan kenapakah tidak diturun Al-Quran ini secara sekali gus, bahkan demikian Allah SWT berkata, kami (Allah) turunkan Al-Quran itu secara beransur-ansur adalah untuk menenangkan dan untuk meneguhkan hati Baginda SAW.”
Hikmah lain adalah supaya mudah dihafal, mudah diingat oleh para sahabat, di mana rata-rata majoriti umat Nabi Muhammad pada ketika itu adalah umat yang Ummiyah iaitu mereka yang tidak tahu membaca dan menulis.

Oleh itu, tambah beliau, mereka senang menghafal dan mengingat apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara perlahan-perlahan atau secara beransur-ansur dan seterusnya dapat mentadabbur ayat-ayat Al-Quran daripada Allah SWT.
Hikmah seterusnya yang dapat diambil ialah pensyariatan hukum secara beransur-ansur.
“Sebagaimana kita lihat dalam Al-Quran sendiri, Allah SWT telah menurunkan hukum-hakam tidak secara sekali gus, tidak melarang dan tidak menegah apa-apa hukuman itu, bahkan Allah SWT menurunkan dengan berperingkat-peringkat yang dapat dilihat dalam kes meminum arak bagi tahap pertama di mana mereka bertanya Rasulullah tentang hukum meminum arak dan Allah SWT mengatakan itu hanya dosa yang besar,” jelas beliau.
Pada tahap kedua, Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendekati solat, janganlah kamu mendirikan solat sedang kamu dalam keadaan mabuk.”
Pada tahap ini, ujar beliau, Allah SWT masih belum lagi mengharamkan secara Qath’i dalam hukum meminum arak sehinggalah sampai ke tahap ketiga bahawa Allah SWT menegaskan pengharaman secara Qath’i bahawa hukum meminum arak itu adalah haram.