Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hikmah selepas rumah terbakar

    Perit berdepan insiden kebakaran yang memusnahkan kediaman keluarga, pelakon, Alif Muhaimin sebaliknya beroleh rezeki daripada musibah tidak dijangka.

    Alif atau nama penuh, Alif Muhaimin Abdul Rahman, 28, menerima pelbagai bentuk kebaikan selepas rumah keluarga di Kelana Jaya, Petaling Jaya terbakar dalam kejadian jam 3:50 petang, Isnin lalu.

    “Apabila berlaku kejadian seperti ini, saya perasan satu persatu hikmah Allah tunjukkan. Selepas kebakaran dipadamkan, saya masuk ke rumah dan mendapati tiada satupun ayat suci al-Quran disentuh api walaupun barangan lain semua habis terbakar.

    “Keesokan harinya pula, saya dapat panggilan daripada syarikat produksi yang tawarkan saya berlakon.

    “Jualan kek batik saya juga meningkat dengan sangat pantas. Alhamdulillah, Allah gantikan dengan banyak perkara,” katanya kepada BH Online.

    Alif beroleh rezeki tidak diduga selepas kejadian kediaman keluarga terbakar. – Agensi

    Isnin lalu, kediaman keluarga juara Hero Remaja 2017 itu terbakar dipercayai berpunca litar pintas ketika hujan lebat disusuli kilat.

    Bagaimanapun, Alif bersyukur semua ahli keluarganya selamat dan tiada sebarang kecederaan serius dialami.

    Alif berkata, mereka sekeluarga sekarang menginap di rumah milik sahabat abangnya sehingga proses baik pulih kediaman terbabit selesai.

    “Rumah keluarga akan dibaik pulih sebab banyak sangat kenangannya selama hampir 40 tahun mendiaminya.

    “Apa yang diberitahu kontraktor, kerja baik pulih rumah kami mungkin mengambil masa antara tiga ke enam bulan,” katanya.

    Ditanya mengenai bantuan diterima, pelakon drama Sentuhan Najwa itu berkata, pelbagai pihak tampil menghulurkan pertolongan kepadanya termasuk daripada insan tidak dikenali.

    “Ramai yang melayangkan mesej kepada saya selepas kejadian itu. Teman artis dan mereka yang tidak dikenali meminta saya kuat semangat.

    “Saya seronok bila ramai yang berikan kata-kata positif, rasa macam tak ada masalah pun,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda