NEW YORK – Tiga hari selepas ujian positif bagi COVID-19, “semuanya terasa seperti kadbod,” ingat Elizabeth Medina, 38, yang kehilangan deria rasa dan bau pada awal pandemik. Setahun kemudian, dia khuatir dia masih tidak dapat menggunakan kembali kedua-dua deria itu.
Medina berunding dengan doktor-doktor telinga, hidung dan tekak dan pakar neurologi, mencuba pelbagai semburan hidung dan merupakan sebahagian daripada sekumpulan pesakit yang menjalani rawatan eksperimen menggunakan minyak ikan.
Untuk mencetuskan deria, dia meletakkan banyak rempah pada semua yang dimakannya, menuangkan ramuan aromatik ke dalam tehnya dan kerap menghidu gelang yang direndam dalam minyak pati.
Tetapi percubaannya sia-sia. Medina, seorang kaunselor bimbingan di sekolah New York, mengatakan dia telah kehilangan banyak kepuasan harian yang pernah dinikmati, termasuk makan dan memasak. Dia mengatakan bahawa dia menangis setiap hari selama berbulan-bulan.
Medina merupakan salah seorang dari sejumlah orang yang semakin meningkat dibelenggu anosmia yang berpanjangan gangguan yang kurang difahami menjadi natijah yang dianggap kurang penting bagi kebanyakan orang mengenai pandemik.
Sebilangan besar penghidap COVID-19 yang kehilangan kemampuan untuk merasa atau menghidu bau pulih “dalam masa tiga atau empat minggu,” menurut Valentina Parma, seorang pakar psikologi di Temple University, Philadelphia.
Tetapi 10 hingga 15 peratus kehilangan deria selama berbulan-bulan, kata Parma. Dia mengetuai Global Consortium for Chemosensory Research (GCCR), yang dibentuk pada awal pandemik untuk mengkaji masalah tersebut.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/03/PAGE-19-E_30032021.jpg)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/03/PAGE-19-C_30032021.jpg)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/03/PAGE-19-A_30032021.jpg)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/03/PAGE-19-B_30032021.jpg)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/03/PAGE-19-D_30032021.jpg)
‘Long Covid’
Kehilangan dua deria itu dianggarkan mempengaruhi lebih dari dua juta orang Amerika dan 10 juta orang di seluruh dunia, menurut pakar itu.
Rasa dan bau sering dilihat sebagai tidak penting daripada penglihatan dan pendengaran, dan kehilangannya sering dianggap kurang serius berbanding kesan lain dari ‘Long Covid’; tetapi ia adalah bahagian penting dalam sosialisasi, kata Parma, menyatakan bahawa “kita memilih pasangan berdasarkan bau.”
Kehilangan deria ini, bertambah teruk bukan hanya daripada segi masalah pemakanan namun menyebabkan kegelisahan dan juga kemurungan, tambah Parma. Seperti “anosmik” yang lain, Medina mendapat ketenangan dan perpaduan dalam kumpulan sokongan yang dianjurkan oleh hospital berhampiran rumahnya.
Kumpulan seperti ini telah berkembang di rangkaian sosial. Kumpulan AbScent, yang dibentuk sebagai badan amal di Britain pada tahun 2019, telah melihat anggotanya di pelbagai platform melonjak dari 1,500 menjadi lebih dari 45,000 sejak wabak itu bermula, menurut pengasas, Chrissi Kelly.
Di laman Facebook utama organisasi, soalan yang menghantui Medina berulang kali muncul: “Adakah saya akan dapat semula deria rasa dan bau saya?”
Pada tahap ini, kata Parma, “agak sukar untuk meramalkan bagaimana keadaan akan berkembang.”
Tetapi ada satu petunjuk yang baik bahawa anosmik sedang dalam proses pemulihan: mengembangkan parosmia, ketika bau orang dari benda-benda biasa terganggu, seperti bau sampah ketika menghidu kopi.
Pada masa ini tidak ada penawar yang diketahui, dan satu-satunya rawatan yang disyorkan tanpa keraguan ialah menghidu empat aroma berbeza dua kali sehari. Menurut Parma, ini berlaku dalam 30 peratus kes, tetapi hanya selepas tiga hingga enam bulan latihan.
Berdepan ketidakpastian ini, mungkin tidak menghairankan bahawa orang-orang seperti pengasas AbScent’s, Kelly yang kehilangan rasa dan baunya setelah mengalami resdung pada tahun 2012, dan Katie Boateng, seorang warga Amerika yang kehilangan deria pada tahun 2009, telah menjadi orang terkenal.
Mereka berkongsi pengalaman mereka, dan mendorong komuniti perubatan untuk memperhebatkan penyelidikan dan menyedari betapa seriusnya gejala mereka. Pada tahun 2018, Katie Boateng mencipta Smell Podcast, pusat maklumat dan nasihat untuk rakan-rakannya dalam keadaan sama.
Latihan harian
Dia kini menjadi sebahagian daripada kumpulan pendukung pesakit yang membantu membimbing penyelidikan GCCR.
Walaupun Boateng telah putus asa untuk menyembuhkan dirinya sendiri, “Saya masih sangat berharap agar kita dapat melakukan penelitian yang dapat menyembuhkan orang pada masa depan,” katanya.
Sementara menunggu kejayaan perubatan, banyak yang terus melakukan senaman menghidu harian mereka, kadang-kadang dengan bantuan jurulatih, seperti Leah Holzel. Pakar makanan, yang telah kehilangan deria baunya dari tahun 2016 hingga 2019 itu telah membantu enam orang pulih dari anosmia sejak bermulanya wabak ini.
Ramai penderita juga menaruh harapan atas ramalan peningkatan atau penyembuhan yang muncul secara berkala di rangkaian sosial, menikmati persahabatan disediakan oleh kumpulan tersebut.
“Sudah hampir setahun selepas saya mula kehilangan bau dan rasa saya dan sekarang saya baik-baik saja,” tulis Dominika Uhrakova, yang tinggal di Southampton, England, di laman Facebook AbScent.
“Tetap bertahan, jangan putus harapan dan saya mengucapkan yang lain semoga berjaya,” tambah pemuda berusia 26 tahun itu. – AFP