SINGAPURA, 25 DIS – Selepas lebih 200 hari sejak kali terakhir dilihat memulakan pendakian di Taiwan pada April lalu, pasangan warga Singapura yang hilang selepas gempa bumi melanda daerah Hualien kini secara rasmi disahkan maut.
Mahkamah Daerah Hualien mengeluarkan sijil kematian untuk Sim Hwee Kok dan Neo Siew Choo susulan permohonan oleh keluarga mereka pada Isnin lalu, lapor media Taiwan.
Masa kematian pasangan itu ditetapkan pada tengah hari, 3 April.
Pasangan tersebut kali terakhir dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) pada 3 April sekitar jam 7:20 pagi waktu tempatan, ketika mereka turun dari sebuah bas berhampiran Shakadang Trail di Taman Negara Taroko, Hualien.
Namun, hampir 40 minit kemudian, gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter gempa terbesar dalam tempoh 25 tahun di Taiwan, dengan pusat gempa 18 kilometer dari bandar Hualien melanda kawasan itu.
Pasukan mencari dan menyelamat dari Jabatan Bomba Hualien telah menjalankan pelbagai operasi mencari, termasuk menggunakan anjing pengesan dengan pakaian milik Sim dan Neo, tetapi usaha itu gagal menemukan mereka.
Ahli keluarga pasangan itu turut menghadiri upacara keagamaan dengan ritual pemanggilan roh pada 14 April, selepas pencarian dihentikan atas faktor keselamatan.
Walaupun keberadaan mereka kekal menjadi misteri, sijil kematian itu dijangka membantu keluarga menguruskan urusan perundangan berkaitan pasangan berkenaan, yang turut dilaporkan memegang pasport Australia.
Keluarga Sim dan Neo turut menyampaikan hasrat kepada pihak berkuasa Hualien agar pencarian diteruskan untuk mendapatkan kesudahan yang memuaskan, lapor media Taiwan. Dalam perkembangan terdahulu, seorang anggota keluarga pasangan itu membuat rayuan melalui Facebook agar maklumat berkenaan pasangan itu dihantar ke alamat e-mel pihak berkuasa.
Sehingga kini, angka rasmi kematian akibat gempa bumi pada 3 April lalu kekal 18 orang, manakala lebih daripada 1,000 orang dilaporkan cedera. – ANN/Straits Times