“ANAK tertumpah susulah, tertinggalkan makananlah, semalam pula termuntah atas kusyen kereta. Macam mana cara hilangkan bau kereta yang dah makin teruk ini? Nanti kalau sembur pewangi banyak-banyak, timbul rasa pening.”
Sesetengah orang mungkin tidak suka bau-bauan yang agak memeningkan daripada bahan kimia, lebih-lebih lagi apabila ada anak kecil atau anak damit.
Berikut dikongsikan beberapa cara untuk hilangkan bau kereta dengan menggunakan bahan pewangi daripada sumber semula jadi.
5 cara hilangkan bau kereta menggunakan bahan semulajadi:
Selain menggunakan ‘air-freshener’ atau bahan pewangi yang dijual di pasaran, anda boleh menggunakan beberapa cara hilangkan bau kereta secara semulajadi. Selain menjimatkan, anda tidak perlu risau kesan bahan kimia. Berkesan!

1. Arang
Sebelum anda mewangikan kereta, perkara pertama yang mungkin anda perlu pertimbangkan adalah meneutralkan bau busuk, hapak atau kepam yang sudah sedia ada dalam kereta.
Contohnya, kalau ada bau durian, bau bangkai atau bau muntah – tentu kita perlu hilangkan bau ini terlebih dahulu, bukan? Kalau tiba-tiba disembur pewangi, boleh jadi lebih pening dengan kombinasinya.
Oleh itu, anda boleh mengambil beberapa ketul arang untuk menyahkan bau kurang enak tersebut. Cara pertama, letakkan arang dalam bekas ‘tupperware’ dan biarkan terbuka di lantai kereta.
Cara kedua, bungkuskan arang dengan tisu atau beg kain dan letak berhampiran kawasan yang berbau.
2. Soda penaik
Kalau tak ada arang, soda penaik atau ‘baking soda’ adalah satu lagi cara hilangkan bau kereta yang berkesan.
Anda boleh meletakkan satu bekas ‘tupper-ware’ yang berisi soda penaik ke dalam kereta seperti arang tadi.
Satu lagi cara, kalau anda berhasrat hendak cuci dan vakum kereta, taburkan dulu soda penaik ini ke atas lantai kereta atau bahagian yang berbau kuat. Biarkan dua hingga tiga jam untuk ia menyerap bau. Kemudian, boleh vakum.
Selalu juga orang gunakan teknik ini untuk menghilangkan bau hancing pada tilam kerana ia efektif untuk menyerap bau.
3. Serbuk kopi atau teh
Sebagai alternatif, anda boleh cuba cara hilangkan bau kereta dengan menggunakan serbuk kopi atau teh. Kedua-dua bahan ini berkesan menyerap aroma yang kurang sedap dalam kereta. Uncang teh atau kopi pun boleh digunakan.
Mungkin lebih ramai suka gunakan kopi kerana baunya pun harum. Tapi seeloknya, kalau guna serbuk kopi, pilihlah jenis serbuk kopi yang selalu dibuat kopi ‘o’, bukan jenis ‘instant’. Serbuk kopi ‘instant’ senang larut kalau terkena air.
4. Daun pandan
Bila bau busuk dalam kereta sudah hilang, bolehlah tambah keharuman menggunakan daun pandan. Seperti yang kita tahu, daun pandan mempunyai aroma yang wangi dan menyegarkan, sebab itulah ia digunakan sebagai bahan asas dalam bunga rampai.
Siapa yang ada daun pandan di belakang rumah, keratkan dua atau tiga helai dan ikatkan. Kemudian letakkan di bawah tempat duduk atau di mana-mana ruang dalam kereta.
Kalau mahu lebih berkesan, hiriskan daun pandan kecil-kecil dan letakkan dalam beg kain yang berlubang-lubang. Kemudian, gantungkan dalam kereta. Memang harum semerbak!
Tapi, jangan lupa menggantikannya dalam tempoh dua hingga tiga minggu. Bila sudah kering dan layu, baunya pun akan hilang sekali.
5. Lemon atau limau kasturi
Kalau ada sebarang tumpahan, basuhkan seperti biasa. Kemudian, perahkan lemon atau limau kasturi pada bahagian yang tidak hilang baunya. Biarkan seketika sebelum membilas seperti biasa.
Jus lemon atau limau kasturi juga boleh dibuat ‘spray’ atau penyembur kereta semula jadi. Perahkan pati lemon tadi dengan sedikit air dan campurkan sedikit cuka kerana ia boleh melawan kulat dan bau hapak. Kemudian sembur pada bahagian dalaman kereta. – Agensi