Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hilangnya emas sebagai lambang status

    MUMBAI – Tukang emas di pasaran emas yang menguntungkan di India sedang bergelut – walaupun ketika nilai logam itu melambung naik – tatkala kebimbangan koronavirus menjejas jualan, tukang emas dan kedai semuanya ditutup.

    Beberapa bulan selepas India membatalkan sekatannya yang ketat, pasaran emas terbesar negara Zaveri Bazaar masih lengang, dengan kebanyakan kedai ditutup dan tidak ada pelanggan yang berkunjung.

    “Kami telah menguruskan kedai ini selama sekurang-kurangnya 40 tahun lalu dan saya tidak pernah melihat perniagaan merosot begitu teruk seperti sekarang,” kata Madhubhai Shah, 75, salah seorang daripada segelintir tukang emas yang memutuskan untuk membuka semula kedai mereka.

    Pasaran Mumbai terjejas teruk oleh sekatan yang dikenakan pada Mac, yang melihat jutaan pekerja migran – termasuk kebanyakan tukang emas – meninggalkan bandar India apabila pendapatan mereka habis.

    “Tujuh puluh peratus daripada pekerja kami telah pulang ke kampung mereka dan unit pengeluaran semuanya ditutup,” beritahu Shah kepada AFP.

    Seorang pekedai memegang barang perhiasan emas untuk dipamerkan di kedainya di Faridabad. – AFP
    Seorang pekerja menyediakan anting-anting emas di sebuah bengkel di Allahabad. – AFP
    Seorang tukang emas menghasilkan barang kemas emas di sebuah bengkel di Hyderabad. – AFP

    Dengan harga emas mencecah rekod tinggi selepas meningkat kira-kira 30 peratus pada tahun ini, tidak adanya insentif untuk pelanggan berbelanja ke atas barang kemas.

    Malah musim perkahwinan akan datang, yang mengikut tradisi bermula pada Oktober dan melihat keluarga menghabiskan wang yang banyak, telah gagal merangsang semangat ataupun menambah perbelanjaan tatkala India bersiap sedia menghadapi kemelesetan pertamanya dalam empat dekad.

    Chiranjeevi Ahire dan tunangnya memutuskan untuk memecah tradisi untuk perkahwinan mereka pada Disember dengan memilih tidak membeli sebarang barang kemas emas, walaupun ia dianggap bertuah dan satu simbol status.

    “Sebelumnya kami mahu perkahwinan diadakan besar-besaran dan mengikut semua tradisi India, sama seperti ibu bapa kami,” beritahu pengurus pemasaran di Mumbai kepada AFP.

    “Namun dengan pandemik dan situasi tidak pasti menyelubungi pasaran pekerjaan, kami mengambil keputusan untuk mengurangkan perbelanjaan kami ke atas emas dan sebaliknya menyimpan wang untuk masa depan, kami mengambil langkah sediakan payung sebelum hujan,” kata lelaki berusia 29 tahun itu.

    Menurut Majlis Emas Dunia (WGC), penggunaan emas India merosot sebanyak 56 peratus semasa separuh tahun pertama 2020 berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.

    Permintaan semasa suku April hingga Jun merosot 70 peratus kepada 63.7 tan, yang paling rendah sejak krisis kewangan global 2008.

    Krisis sekatan dan harga tinggi bermakna pelanggan tidak mengeluarkan perbelanjaan walaupun semasa perayaan Akshaya Tritiya pada April, dianggap masa yang baik untuk penduduk beragama Hindu membeli logam tersebut.

    Selain barang kemas, penduduk India secara tradisi menyimpan stok jongkong emas dan duit syiling sebagai perlindungan terhadap inflasi.

    Ramai di antara mereka kini menggunakannya untuk mendapatkan pinjaman, justeru mengeksploitasi nilai tinggi komoditi dan menikmati kadar faedah yang lebih rendah yang dikenakan ke atas pinjaman peribadi.

    Bhadresh Gowda, seorang petani di negeri Karnataka, menggunakan barang kemas perkahwinan isterinya untuk mendapatkan pinjaman berjumlah 200,000 rupee selepas mengalami kerugian besar semasa sekatan.

    “Pada mulanya, saya teragak-agak untuk menggunakan emas sebagai kolateral disebabkan barang kemas berkenaan merupakan warisan keluarga saya, namun keadaan adalah sukar,” beritahu lelaki berusia 39 tahun itu kepada AFP.

    Bertentangan dengan pinjaman tradisional, kredit yang disokong oleh emas ‘adalah lebih mudah diakses dan tidak memerlukan banyak dokumen, menurut beliau, dengan itu menjadikan proses lebih cepat.

    “Emas menawarkan lebih banyak nilai untuk wang buat masa sekarang. Sebaik sahaja ekonomi berpulih, saya akan membayar balik pinjaman dan mendapatkan semula emas saya,” tambah beliau.

    Beberapa pengguna yang canggih dari segi teknologi sedang mempertaruh ke atas harga yang akan naik seterusnya tatkala pelabur mencari tempat yang selamat, dan sedang mengepam wang untuk melabur dalam emas digital.

    “Pengguna membeli emas digital secara sedikit-sedikit disebabkan ia membolehkan anda membeli emas dengan harga serendah satu rupee,” kata Rajesh Khosla, jurucakap untuk Persatuan Emas Jongkong dan Tukang Emas India.

    “Apabila mereka perlu menukar emas digital kepada emas fizikal, ia akan dihantar kepada mereka,” beritahunya kepada AFP.

    Emas akhirnya akan mencatat kepulangan di India apabila permintaan pengguna kembali pulih, kata Somasundaram P.R., pengarah urusan operasi WGC India.

    “Orang yang menyimpan wang disebabkan pembatalan percutian atau perbelanjaan akan melabur dalam emas,” beritahunya kepada AFP.

    Namun dengan ekonomi masih berada dalam keadaan meleset dan jangkitan koronavirus mencecah tiga juta, bakal pengguna seperti Ahire berkata mereka memilih untuk menunggu.

    “Adalah lebih baik untuk menyimpan wang saya sekarang,” kata beliau.

    “Dengan pandemik global, kemelesetan ekonomi dan prospek pekerjaan yang lemah, saya tidak akan mengambil risiko untuk menjejas kestabilan kewangan saya untuk emas. Ia merupakan satu idea yang teruk.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda