Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Himalaya berdepan risiko bencana akibat cuaca panas

    KATHMANDU, 12 JUN – Komuniti di seluruh rantau Himalaya Hindu Kush Asia berdepan risiko bencana yang semakin tinggi musim monsun ini, dengan suhu dan taburan hujan dijangka melebihi paras normal, menurut amaran pakar hari ini.

    Suhu dijangka meningkat sehingga dua darjah Celsius lebih tinggi daripada purata di seluruh rantau ini, dengan ramalan menunjukkan hujan yang melebihi paras biasa, menurut laporan ramalan monsun yang dikeluarkan oleh Pusat Pembangunan Gunung Bersepadu Antarabangsa (ICIMOD) yang berpangkalan di Kathmandu kelmarin.

    “Kenaikan suhu dan hujan yang lebih ekstrem meningkatkan risiko bencana berkaitan air seperti banjir, tanah runtuh dan aliran puing, serta memberi kesan jangka panjang kepada glasier, takungan salji dan permafros,” kata penasihat kanan ICIMOD, Arun Bhakta Shrestha dalam satu kenyataan.

    Monsun musim panas, yang menyumbang 70-80 peratus hujan tahunan Asia Selatan, amat penting untuk pertanian dan seterusnya untuk kelangsungan hidup jutaan petani serta keselamatan makanan di rantau yang dihuni sekitar dua bilion penduduk.

    Namun begitu, setiap tahun perkara itu telah membawa kemusnahan melalui tanah runtuh dan banjir. Glasier yang mencair menambah jumlah air, manakala pembinaan yang tidak terkawal di kawasan mudah banjir memburukkan lagi kerosakan.

    Musim monsun tahun lalu telah menyebabkan tanah runtuh dan banjir yang dahsyat di seluruh Asia Selatan dan meragut ratusan nyawa, termasuk lebih 300 orang di Nepal. – AFP

    Komuniti di seluruh rantau Himalaya Hindu Kush Asia berdepan risiko bencana yang semakin tinggi musim monsun ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda