Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Dalam usaha mendedahkan sukan alat kawalan jauh atau dikenali RC Aeromodeller sebagai hobi yang diterima di negara ini, Skyvision BN dan RC Aeromodeller Brunei Darussalam telah menganjurkan acara Sky Vision Funfly di kawasan lapang berhampiran Masjid Lambak Kanan.
Acara tahunan komuniti sukan alat kawalan jauh itu bertujuan untuk menyatukan para penggemar hobi berkenaan dari keempat-empat buah daerah. Ia mempertandingkan tiga kategori acara iaitu RC Drone, RC Aircraft Precision dan Last Man Standing.
Pemenang bagi kategori RC Drone disandang oleh Muhd Riduan manakala Khairul Aznal dan Nuqman Syahmil menduduki tempat kedua dan ketiga dalam kategori yang sama.
Bagi Kategori RC Aircraft Precision pula dimenangi oleh Jeff Jet dan kategori Last Man Standing dirangkul oleh Zikry.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya berkesudian menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Kampung Kawasan 3 RPN Lambak Kanan, Haji Mahir bin Mohd Yusof.
Acara ini diharap dapat mendedahkan kebaikan RC Aeromodeller dan mempromosikan peraturan menerbangkan RC Aeromodeller termasuk dron di negara ini dari segi keselamatan bagi pengguna, orang awam serta keselamatan negara.