BERADA di kedudukan kesembilan sebagai ‘pembunuh’ wanita di seluruh dunia dengan catatan 2.1 juta kematian, tindakan proaktif dalam meningkatkan kesedaran mengenai penyakit diabetes telah dilaksanakan.
Wanita tidak terkecuali untuk wajar menerima maklumat berhubung akses penjagaan dan pengetahuan lengkap dalam mengawal diabetes.
Akses penjagaan dan maklumat yang cukup adalah penting supaya wanita mampu untuk mengawal diabetes.
Perkara ini merangkumi golongan wanita mengandung untuk mendapatkan saringan, didikan dan penjagaan terbaik demi kesihatan ibu serta anak dalam kandungan.
Bagi semua ibu hamil yang berisiko, mereka adalah disarankan untuk melakukan saringan diabetes mellitus gestasi (GDM) antara minggu ke-24 hingga 28 kehamilan dengan ujian ‘modified’ toleransi glukosa oral (mOGTT).
Manakala, pesakit diabetes yang mahu hamil, perlu menghadiri kaunseling pra kehamilan sebelum hamil supaya mereka mampu mengawal paras gula dalam darah dengan lebih baik sebelum dan sewaktu kehamilan.
Bagi ibu hamil yang berisiko perlu melakukan ujian OGTT untuk memeriksa tindak balas badan ibu mengawal tahap gula dalam darah sekali gus mengenal pasti penyakit kencing manis ketika hamil.

Berdasarkan kajian Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat, ibu yang hamil dengan penyakit diabetes memiliki risiko tinggi antara 20 hingga 50 peratus untuk mendapat penyakit diabetes mellitus (jenis 2) berterusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun selepas melahirkan anak.
Untuk mengurangkan risiko penyakit ini, wanita perlu menjalani pemeriksaan gula dalam darah secara tahunan selepas bersalin.
Selain itu, mereka perlu fokus pada penjagaan kesihatan, pemakanan seimbang dan gaya hidup aktif.
Bagi pesakit diabetes mellitus jenis 1 (IDDM) yang berhasrat untuk memiliki cahaya mata pula, mereka perlu mendapatkan khidmat runding daripada pakar perubatan pelbagai bidang selain obstetrik dan ginekologi.
Ini kerana mereka berdepan risiko keguguran atau anak dilahirkan dengan kecacatan, serta mendapat penyakit jantung 10 kali ganda berbanding ibu normal.
Antara perkara perlu dititikberatkan ketika hamil termasuklah imbasan terhadap pemeriksaan fizikal, darah, air kencing dalam menjaga kesuburan kandungan.
Selain mengamalkan gaya hidup aktif, golongan ibu perlu mengambil makanan berserat untuk kesihatan jantung mereka dan mengurangkan makanan bergula, berlemak serta berminyak. – Agensi