Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hindari bahaya rokok

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Ancaman rokok bukan saja terbatas kepada perokok itu sendiri iaitu perokok aktif tapi ia juga menular kepada orang yang tidak merokok yang terhidu asap rokok atau lebih dikenali sebagai perokok pasif.

    Seluruh kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar perubatan, sama ada pakar Islam atau bukan Islam mengenai rokok, telah menemui natijah yang sama iaitu rokok membahayakan kesihatan, menurut khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Bahaya dan Mudarat Tabiat Merokok’.

    Kaji selidik STEPS NCD 2016 mengongsikan bahawa sebanyak 19.9 peratus atau kira-kira 50,000 hingga 60,000 rakyat di negara ini yang berumur antara 18 hingga 69 tahun adalah perokok iaitu 36.3 peratus dalam kalangan lelaki dan 3.7 peratus dalam kalangan wanita.

    Manakala hasil dapatan dari kaji selidik Global School Health Survey 2019 pula, menunjukkan 9.8 peratus remaja yang berumur 13 hingga 17 tahun adalah perokok di mana 15.4 peratus lelaki dan 4.3 peratus adalah perempuan.

    Pengguna rokok elektronik dalam kalangan remaja yang berumur 13 hingga 15 tahun pula adalah 13.3 peratus yang mana 19 peratus dalam kalangan lelaki dan 7.1 peratus perempuan.

    Gambar Freepik

    Dapatan itu menunjukkan bahawa walaupun Brunei bukan negara pengeluar tembakau, tetapi permintaan dalam negara terhadap produk tembakau khususnya rokok dan rokok elektronik adalah masih tinggi,” kongsi khatib.

    Selain itu, fatwa Yang Berhormat Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam buku bertajuk ‘Rokok dan Merokok’, turut menjelaskan hukum halal haramnya.

    Menurut khatib lagi, terdapat juga beberapa dalil syarak yang dikemukakan untuk menyokong ketetapan hukum pengharaman merokok itu.

    Selain itu, haram juga memakan atau meminum setiap yang memudaratkan, dan larangan membelanjakan harta kepada perkara yang tidak bermanfaat.

    Islam cukup mengambil berat tentang penjagaan harta, ada pun membelanjakan harta pada perkara yang tidak mendatangkan manfaat adalah dilarang dan dianggap satu pembaziran yang sangat ditegah oleh syarak.

    “Ini sama halnya dengan merokok yang mengundang pembuangan harta tanpa faedah di mana larangan pembaziran itu jelas dalam Al-Quran,” tegasnya.

    Impak merokok daripada tabiat merokok telah lama dikenal pasti, tegas khatib, berdasarkan maklumat dari Kementerian Kesihatan, merokok merupakan faktor utama kepada penyakit tidak berjangkit seperti kanser, penyakit jantung, strok, kencing manis dan penyakit pernafasan yang kronik.

    Beliau menekankan penyakit itu merupakan lima punca utama kematian di negara ini di mana kanser paru-paru adalah kanser tertinggi di Brunei dan merokok adalah penyebab utama kanser paru-paru.

    Di seluruh dunia, katanya, penggunaan tembakau menyebabkan lebih 8 juta kematian setiap tahun di mana lebih dari 7 juta tersebut adalah dalam kalangan pengguna tembakau.

    “Manakala satu perpuluhan dua juta kematian daripadanya disebabkan mereka yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok,” tegasnya.

    Kajian turut mendapati yang asap rokok bukan saja menjejaskan perokok tapi menjejaskan mereka yang tidak merokok yang terdedah kepada asap rokok iaitu perokok pasif.

    “Ini kerana kandungan asap rokok yang mengandungi nikotin, tar, karbon monoksida dan bahan kimia lain yang membahayakan,” jelasnya.

    Sehubungan dengan itu, jika sesuatu perkara itu sabit mendatangkan mudarat, hendaklah ia ditinggalkan dan sama juga dalam perkara rokok, hendaklah dijauhi dan ditinggalkan.

    Perkara menjaga nyawa adalah salah satu dari lima perkara asas untuk mencapai maslahat dunia dan juga akhirat selain menjaga agama, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga harta.

    Semua ini, wajib dilindungi dan jangan ada satu pun yang diabaikan sehingga memungkinkannya terjejas atau tercedera, inilah ajaran agama kita.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda