Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan MMPB
Senyuman manja insan-insan istimewa anugerah Illahi tetap terukir di bibir, tawa riang sentiasa mencuit hati. Memiliki anak istimewa salah satu anugerah Illahi yang tidak boleh disangkal, semuanya sudah tertulis di Luth Mahfuz.
Sama ada yang dilahirkan sempurna atau dilahirkan dengan kelainan upaya, hakikatnya belaian kasih sayang sesama manusia mestilah sentiasa disemai dalam diri kita dengan penuh keikhlasan.
Dengan kata lain, kehadiran golongan istimewa di dunia yang fana ini bukanlah untuk dihina dan dicerca tetapi golongan ini perlulah difahami, dibantu dan dibimbing supaya mereka berasa dikasihi, dihargai dan tidak berasa disisihkan oleh masyarakat supaya mereka dapat menjalani dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan sejahtera.
Sehubungan itu, dalam usaha meningkatkan impak kesedaran dan penerimaan orang ramai terhadap golongan sindrom Down, Malam Minggu Pusat Belia (MMPB) telah mengadakan program ‘Bright Up! For Down Syndrome’ bagi meraikan ahli-ahli Persatuan Sindrom Down Brunei (ABLE) baru-baru ini.
Bersatu curah kasih sayang
Antara objektif pogram bersempena dengan Kempen Hari Bertindak (DoA) bertempat di Bangunan Persatuan ABLE yang terletak di Kampung Anggerek Desa itu sememangnya bermatlamat untuk meningkatkan pemahaman daripada masyarakat untuk membuka minda bagi menerima serta menghindari sikap diskriminasi, stigma dan penyisihan terhadap golongan tersebut.


Menurut Naib Presiden MMPB, Dayang Aeta Naqiah binti Hari Raya menjelaskan bahawa meski pun golongan sindrom Down ini memiliki keterlambatan secara intelektual tetapi bukan beerti mereka tidak memiliki kemampuan seperti anak-anak biasa yang lain.
“Keterbatasan kognitif memang menjadi salah satu cabaran bagi mereka. Memang tidak dapat dinafikan juga sebilangan masyarakat ada yang masih kurang memahami mengenai situasi insan-insan yang memiliki gejala ini kerana mungkin masih adanya sifat diskriminasi terhadap keterbatasan mereka.”
“Dalam hal ini, pentingnya kita bersatu untuk sentiasa menyayangi dan menghormati hak mereka kerana mereka juga manusia yang mempunyai perasaan dan cita-cita seperti kita semua,” tambahnya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan semasa berlangsungnya program yang telah dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku tetamu kehormat yang sekali gus menyempurnakan aktiviti mengecat logo rasmi Persatuan ABLE dan disusuli denga melawat ruang dan bilik yang telah diubah suai sebelumnya.
Suasana penuh warna-warni
Dalam pada itu, Dayang Aeta turut berkongsi bahawa selama lebih kurang 20 hari bermula dari 30 November lalu, MMPB telah menjalankan projek pengubahsuaian dan penaiktarafan Bangunan Persatuan ABLE dengan karya-karya lukisan kreatif penuh warna-warni.
“Demi memberikan keselesaan persekitaran yang memberangsangkan kepada insan-insan istimewa untuk semakin menambah dan menyuntik minat mereka dalam pembelajaran dengan berkesan, itulah antara tujuan kami,” jelasnya dengan penuh harapan yang telah dibantu oleh beberapa orang pensyarah dan pelajar dari Kolej IGS.
Selain itu, sebuah bilik khas yang dikenali dengan nama Happy Meal Lounge juga turut dihasilkan atas sumbangan dari McDonalds Brunei dan sebuah banner baharu bagi persatuan juga telah disumbangkan oleh Massutera Engineering Sdn Bhd.
Sentiasa proaktif, semai kesedaran
Tegas Dayang Aeta lagi, dengan adanya program sebegini, kesedaran ini tidak hanya terhenti begitu sahaja bahkan para ibu bapa dan juga masyarakat mestilah sentiasa proaktif memiliki semangat baharu dari hari ke hari untuk sama-sama berganding bahu bersama agensi-agensi meliputi persatuan bukan kerajaan (NGO), kerajaan dan juga swasta dalam sama-sama menyokong golongan istimewa ini.
Persatuan ABLE telah ditubuhkan pada tahun 2012 dan dimulai dengan hanya 23 orang ahli-ahli sindrom Down. Pada masa kini, persatuan ini telah berkembang dan mempunyai sebanyak lebih kurang 80 orang ahli-ahli sindrom Down dari anak damit sehinggalah individu berusia 53 tahun.
Antara objektif-objektif penubuhan persatuan ini adalah untuk melindungi setiap individu sindrom Down dan ahli keluarga mereka dari diambil kesempatan, didera atau diperalatkan untuk keuntungan kewangan oleh individu, perkumpulan, institusi, syarikat-syarikat, badan-badan korporat, kesatuan perniagaan, media massa atau seumpamanya. Selain itu, untuk menyokong setiap ahli individu dengan sindrom Down dan ahli keluarga mereka dalam aspek sosial, latihan, pendidikan dan psikologi, yang dikenali dengan singkatan S.T.E.P.
Dalam pada itu, bersempena dengan DoA, MMPB juga telah mengadakan dua program kemasyarakatan yang lain iaitu aktiviti riadah mendaki bukit dan kempen kebersihan di Bukit Silat dan juga program gaya hidup sihat semasa Hari Pelancaran DoA 2020 yang diadakan di kawasan letak kereta Bali Pitstop, Tungku Link.