“Saya tahu di luar sana ramai wanita yang terperangkap dalam hubungan toksik. Tolong keluar sebelum terlambat.
“Tidak kisah sama ada dalam hubungan cinta, persahabatan atau persaudaraan, kita perlu belajar untuk berkata tidak.
“Saya juga pernah terperangkap dalam situasi gelap, awal tahun lalu. Apabila saya cuba mencari kejujuran, keadaan menjadi bertambah buruk,” demikian luahan dibuat pelakon sensasi, Atikah Suhaime menerusi Instagram Story, beberapa jam lalu.
Ditanya apakah pendedahan itu mempunyai kaitan dengan bekas kekasihnya iaitu penyanyi dan komposer, Awi Rafael, Atikah yang dihubungi media berkata, dia berbuat demikian bukan untuk meraih perhatian.
Pelakon yang popular menerusi filem Highland Tower dan Legenda Budak Hostel itu berkata, dia sebaliknya hanya ingin memberi peringatan kepada wanita supaya berhati-hati dalam menjalin hubungan.

“Saya tahu, pendedahan ini akan membuatkan kisah lama kami kembali diungkit, malah saya juga sudah bersedia jika ada yang mahu mengecam.
“Saya cuma mahu memberi motivasi kepada wanita yang melalui situasi seperti itu supaya berani bertindak kerana saya juga pernah melalui episod gelap dan menakutkan,” katanya.
Atikah berkata, selama ini, dia hanya mendiamkan diri apabila rancangan perkahwinannya dan Awi yang sepatutnya berlangsung pada 17 Mac lalu dibatalkan.
Namun, katanya, dia terkilan apabila ibu dan bapanya terus diasak pelbagai tohmahan, biarpun perkara itu sudah hampir setahun berlalu.
“Sudah lama saya pendamkan perkara ini. Saya juga manusia yang tidak sempurna, tetapi saya kasihan melihat emak dan ayah yang terpaksa berdepan pelbagai tohmahan.” katanya. – Agensi