Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hindari penyakit hati, elak perpecahan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Menjaga hati seseorang amat dipentingkan dalam Islam agar umat Islam terhindar daripada penyakit seperti iri, sombong dan berprasangka buruk.

    Ini kerana ia akan membawa kepada perpecahan, kecelaruan, ketidaksefahaman, memutuskan silaturahim dan banyak lagi jika penyakit hati menguasai diri sehingga mengakibatkan kehilangan ketenangan.

    Perkara itu merupakan antara inti pati tazkirah disampaikan oleh Penolong Kaunselor Penjara, Awang Fariszal bin Ali dari Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada Program Malam Munajat dari Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien, Kampung Katimahar.

    Sehubungan itu, umat Islam perlu menyedari betapa pentingnya untuk kita menjaga dan merawat hati agar sentiasa sihat iaitu dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tambahnya.

    Hadir pada program ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Malam Munajat kali ke-72 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengundang tetamu khas, Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Mohammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim yang memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

    Ia turut disertai ahli-ahli jawatankuasa takmir Masjid Utama Mohammad Salleh, Masjid
    Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang dan Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien, Kampung

    Katimahar, serta ahli-ahli Jawatankuasa Induk Rancangan Khatam Al-Quran Pertubuhan WARGAMAS dan para belia Permata Hijau, Temburong.

    Turut mengikuti program itu ialah jemaah dari 100 buah masjid, surau, balai ibadat di seluruh negara serta warga KHEU dari kediaman masing-masing.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyertai majlis tersebut secara maya. – Gambar serahan KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda