Sunday, January 19, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hindari produk kosmetik tercemar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Orang ramai diseru untuk tidak menggunakan satu produk kosmetik yang didapati dicemari dengan bahan terlarang / bahan racun berjadual yang tersenarai dalam Akta Racun 1956 yang tidak diisytiharkan, hasil daripada ujian makmal yang dijalankan oleh Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa produk kosmetik yang dicemari adalah BABY SHINE 3 IN 1 – TREATMENT NIGHT CREAM buatan Malaysia di mana produk berkenaan didapati dicemari dengan Hydroquinone.

    Bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

    Hydroquinone adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 yang mana penggunaannya tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

    Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan untuk penjualan produk berkenaan dan / atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk berkenaan.

    Berikutan dapatan itu, produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

    Orang ramai yang telah menggunakan produk berkenaan adalah dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaannya dengan serta-merta. Jika mereka mengalami kesan sampingan dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Penjualan produk berkenaan termasuk penjualan secara atas talian seperti melalui Facebook dan sebagainya, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000, penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

    Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

    Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Pelesenan melalui talian telefon, 2393301 sambungan 208 atau Talian Darussalam 123, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn, berjumpa terus Pegawai Komplians dan Pelesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A atau menghubungi Talian Darussalam 123.

    Produk kosmetik yang tercemar dan ditegah penggunaannya – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda