Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Sifat mazmumah iaitu iri hati atau hasad adalah salah satu sifat yang perlu dihindari kerana Allah SWT melarang orang yang beriman berasa iri hati terhadap kurniaan yang telah dilebihkanNya kepada sebahagian orang sama ada itu berkaitan dengan perkara agama ataupun dunia.
Larangan iri hati itu tidak terbatas pada kurniaan yang terdapat pada orang lain, malahan Allah SWT melarang hamba-hambaNya daripada iri hati dalam urusan ganjaran pahala dan juga pembahagian harta pusaka.
Sesungguhnya setiap manusia baik laki-laki atau perempuan, akan dibalas mengikut apa yang mereka usahakan.
Demikianlah antara huraian intisari dan pengajaran ayat daripada tadabbur Al-Quran, Surah An-Nisa, ayat 32 disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Dayang Norhayati binti Haji Abdul Rahman dari Musolla Al-Ameen, PDI, bagi menyerikan Munajat Ramadan, Khas untuk Wanita ke-23 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kali Ke-177 bersempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025.
Mengimarahkan Munajat Ramadan kelmarin ialah ahli-ahli Kelab Wanita Antarabangsa Brunei; tenaga pengajar dan penuntut wanita Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), para muslimah dari beberapa buah masjid, serta warga kerja wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama dan jabatan-jabatan di bawahnya dan individu yang turut serta secara maya.

Turut menyerikan acara Munajat ialah Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Munajat Ramadan kelmarin dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Presiden Kelab Wanita Antarabangsa Brunei, Unku Datin Hajah Fanzah binti Osman.
Acara diteruskan dengan bacaan Surah As-Sajdah beramai-ramai dipimpin oleh, Penolong Pensyarah (SkiPPA), Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dari Musolla ITQSHHB, Dayang Raihanah binti Haji Ali Asgar. Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Ugama (SkiPPA), Jabatan Majlis Ugama Islam, KHEU dari Surau KHEU, Dayang Muzainah binti Mohaimin.
Selepas tadabbur Al-Quran, bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Ahli Kelab Wanita Antarabangsa Brunei, Hajah Zarina binti Dato Haji Abu Zar, disusuli Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Ugama (SkiPPA), Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Dayang Nooraimah binti Sibuang.
Menurut kenyataan, Munajat Ramadan anjuran KHEU mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan ibadah di bulan Ramadan ini dan meminta keampunan daripada Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafakkan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala musibah dan penyakit merbahaya.
Semoga dengan amalan ibadah yang dikerjakan di bulan Ramadan ini, kehidupan kita dan Negara Brunei Darussalam diberkati.