FITRAH manusia memang tidak dapat lari daripada memiliki sifat marah. Namun, sikap marah bukanlah jalan penyelesaian masalah dan ada kalanya ia hanya menyebabkan keadaan menjadi semakin rumit. Semua itu melibatkan perasaan dan adalah penting untuk kita belajar cara mengawal emosi ketika dalam keadaan marah.
Diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud r.a, Nabi Muhammad S.A.W pernah bertanya: “Menurut kamu, siapa orang yang paling kuat di antara kamu?” Sahabat menjawab: “Orang yang tidak terkalahkan.” Baginda berkata: “Bukan itu akan tetapi orang yang mampu mengawal dirinya dalam keadaan sedang marah.”
Nabi Muhammad juga pernah berpesan: “Seseorang yang sedang marah itu hakikatnya sedang mendekati neraka jahanam.” Natijahnya, Allah S.W.T menciptakan sifat marah daripada unsur api dan menyimpannya dalam batin manusia. Apabila api itu marak, nyalaannya akan menyebabkan jantung bergolak, bahangnya tersebar melalui urat, kemudian naik ke bahagian atas tubuh.
Sama seperti wap air yang mendidih, permukaan kulit akan nampak memerah jika menjalar sampai ke kulit. Dalam hal marah, manusia memiliki tiga peringkat. Pertama, tidak mempunyai rasa marah langsung. Dalam keadaan seperti ini, seseorang telah kehilangan kekuatan atau menjadi lemah ketika diperlukan akibat kekurangannya itu.
Kedua, sifat marah yang ideal iaitu terkawal. Contohnya ialah sikap marah yang pernah ditunjukkan oleh para sahabat seperti dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya menerusi surah al-Fath ayat 29 yang bermaksud: “Bersikap tegas terhadap orang-orang kafir, namun berkasih-sayang kepada sesama mereka.”
Ketiga, sifat marah berlebihan dan perlu dielakkan. Dalam keadaan ini, kemarahan yang melepasi batas toleransi akan menyebabkan orang yang berkenaan hilang kawalan akal dan mengabaikan petunjuk syariat. Lalu, mereka menjadi seperti orang yang hilang arah dan bertindak secara membuta tuli.
Hakikatnya, walaupun sikap marah tidak boleh dihilangkan secara keseluruhan, ia mampu dikawal dan dialihkan. Paling utama, seseorang itu perlu mengenali nafsu diri sendiri dan menyedari bahawa mereka tidak seharusnya tunduk kepada nafsu tersebut. Bagi mengawal dan mengatasi perasaan marah, Islam telah menggariskan beberapa panduan untuk diamalkan.
Pertama, kita perlu ingat dan sedar bahawa pahala menahan amarah sangat besar. Kedua, dengan memberi peringatan kepada diri sendiri tentang seksa Allah yang menanti jika terlalu menurut perasaan.
Ketiga, bersikap yakin bahawa Allah lebih berkuasa mengawal sifat marah melebihi orang lain. Keempat, dengan mengingatkan diri sendiri akan akibat, hukuman serta risiko yang akan dihadapi.
Kelima, dengan belajar dan memikirkan betapa buruk penampilan orang yang sedang marah sehingga membuatkan wajahnya berkerut atau masam mencuka. Keenam, dengan menyedari bahawa orang yang sedang marah tindakannya lebih cenderung untuk mirip dengan binatang buas. Sebaliknya, kalau sedang bersikap ramah lebih menyerupai para Nabi dan wali Allah.
Oleh itu, apabila diri mula dijentik perasaan marah, seseorang itu hendaklah cepat-cepat berdoa dengan membaca ‘Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang terkutuk’ seperti mana yang diajarkan Rasulullah.