PUTRAJAYA, 1 OGOS – Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijadual mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-54 (AMM ke-54) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan bermula esok (2 Ogos) sehingga 7 Ogos.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan semua mesyuarat itu diadakan menerusi sidang video dan dihoskan Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN 2021.
“AMM ke-54 kali ini menteri-menteri luar ASEAN akan membincangkan kemajuan Pembangunan Komuniti ASEAN; Keutamaan dan Hasil Utama AESAN termasuk strategi bersama pemulihan sosioekonomi COVID-19.
“Turut akan dibincangkan pelaksanaan Pelan Pembangunan Keselamatan Politik ASEAN 2025, isu serantau dan antarabangsa termasuk persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 yang dijadualkan pada Oktober 2021,” menurut kenyataan itu.
Antara mesyuarat akan disertai Hishammuddin, Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN+3 Ke-22 (APT FMM Ke-22); Mesyuarat Suruhanjaya Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ); Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-23; dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-29. – Bernama