Thursday, October 3, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    HiTUNE, Almerez FC meterai perjanjian

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Kejohanan Liga Futsal Brunei (BFL) 2024/25 akan membuka tirainya pada 5 Oktober ini, dengan pasukan Almerez HiTUNE FC bersedia untuk bersaing dalam musim kali ini, hasil kerjasama antara Kumpulan Syarikat HiTUNE dan Almerez FC.

    Majlis penandatangan perjanjian penubuhan pasukan futsal tersebut berlangsung di Pejabat Kumpulan Syarikat HiTUNE, Kampung Mata-Mata, Gadong, kelmarin.

    Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat HiTUNE, Dayang Hernah Nur Imani binti Muhd Jeffrey, dan disaksikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat HiTUNE, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang. Sementara itu, pihak Almerez diwakili oleh Haji Muhammad Abdul Azim bin Haji Zakaria dan Pengiran Amirul Mustaqim bin Pengiran Omar.

    Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam memacu kecemerlangan pasukan futsal Almerez HiTUNE FC, dengan matlamat mencapai kejayaan dalam sukan futsal, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

    Dayang Hernah Nur Imani berkata, perjanjian itu adalah satu langkah penting bagi menyokong perkembangan salah satu kelab futsal terbaik di Brunei Darussalam, selain membantu program pembangunan futsal pada masa hadapan.

    “Kami yakin dengan komitmen yang tinggi daripada semua pemain serta pihak pengurusan, pasukan Almerez HiTUNE FC akan mampu bersaing dengan cemerlang dalam BFL 2024/25,” katanya.

    Majlis turut menyaksikan penandatanganan kontrak oleh 23 pemain, jurulatih, dan pegawai pengurusan yang terpilih mewakili pasukan Almerez HiTUNE FC.

    Antara yang hadir pada majlis tersebut bergambar ramai. – gambar OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda