Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Rezeki yang dikurniakan kepada kita sebenarnya mengandungi hak orang lain, khususnya mereka yang memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim dan golongan yang kurang berkemampuan. Bersedekah merupakan salah satu cara untuk mengongsikan rezeki agar segala rezeki yang diterima akan mendapat keberkatan dan akan diluaskan lagi dengan sendirinya.
Perkara ini dijelaskan oleh Kaunselor Pelawat UNISSA, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor semasa menyampaikan ceramah pada majlis sambutan Israk Mikraj anjuran HiTUNE Group of Companies di Kampung Mata-Mata, Gadong kelmarin.
Hadir pada majlis berkenaan, Pengerusi HiTUNE Group of Companies, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang dan Ketua Pegawai Eksekutif HiTUNE Group of Companies Dayang Hernah Nur Imani binti Muhd Jeffrey.
Beliau seterusnya berkata, “menyumbangkan rezeki kepada perkara-perkara kebaikan juga adalah ibadah yang akan melatih diri untuk bersyukur dan sekali gus membantu meningkatkan keberkatan rezeki yang Allah kurniakan”.
Menurutnya lagi, keberkatan yang diperoleh daripada perkongsian rezeki dan membantu orang lain adalah sangat besar ganjarannya dalam kehidupan di dunia dan juga sebagai bekalan di akhirat.
“Kekayaan material semata-mata tidak semestinya menepati keperluan sepenuhnya dalam kehidupan, sebaliknya aspek ketenangan hati, hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, serta keberkatan dalam segala aspek kehidupan merupakan kunci utama kenikmatan dan ketenangan dalam kehidupan,” tambahnya.
Selain berkongsi aspek kewajiban menepati hadir pada waktu bekerja kerana ia menjadi tanggungjawab penting yang mencerminkan disiplin, profesionalisme dan integriti pekerja.
Bukan setakat itu, jelasnya, agama juga menuntut menepati waktu bekerja yang dianggap sebagai amanah yang perlu dijaga bagi mencapai produktiviti dan membina reputasi organisasi.
“Dengan menjaga dan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh majikan, kita akan mendapat keberkatan dalam rezeki dan kehidupan serta kebahagiaan,” tambahnya.