Saturday, June 29, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    Hizbullah tingkatkan serangan terhadap Israel

    BEIRUT, 16 JUN – Kumpulan Hizbullah yang disokong Iran meneruskan serangan balas terhadap Israel, beberapa hari selepas komander kanannya terbunuh, sementara pejuang Hamas turut terkorban di selatan Lubnan.

    Komander Hizbullah, Taleb Abdallah, yang disifatkan Israel sebagai ‘salah seorang komander kanan kumpulan itu di selatan Lubnan’, terbunuh dalam serangan Zionis di kampung Jouaiyya, Selasa lalu.

    Kelmarin, Hizbullah menyasarkan pangkalan Meron di utara Israel dengan serangan peluru berpandu dan dron ke arah pangkalan Israel yang lain bagi membalas dendam susulan serangan dan pembunuhan Taleb di Jouaiyya.

    Menurut tentera Israel, dua peluru disasarkan dari Lubnan ke arah Unit Kawalan Udara Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di kawasan Meron di utara Israel, namun ‘tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan membabitkan unit itu’.

    “Beberapa sasaran udara dikenal pasti dari Lubnan ke wilayah Israel dan serangan di kawasan Goren menyebabkan kebakaran berlaku tetapi tiada laporan kematian.

    Kepulan asap kelihatan susulan bedilan oleh tentera Israel di kawasan hutan di perkampungan Deir Mimas di selatan Lubnan pada 15 Jun. – AFP

    “Pesawat menyerang Hizbullah di kawasan Aitarun di selatan Lubnan, selain artileri turut dilancarkan untuk menghapuskan ancaman, juga di kawasan Aitarun,” katanya.

    Sementara itu, Hamas mengesahkan salah seorang pejuangnya terbunuh di selatan Lubnan.

    Penyelaras khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert dan ketua Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL), Aroldo Lazaro, menyuarakan ‘kebimbangan’ berhubung peningkatan serangan di sempadan Israel-Lubnan.

    Melalui kenyataan bersama, mereka menggesa semua pihak menghentikan serangan dan komited untuk berusaha ke arah penyelesaian politik serta diplomatik.

    “Kesilapan ini boleh membawa kepada bahaya dan konflik yang lebih meluas,” katanya.

    Rabu lalu, pegawai tertinggi Hizbullah, Hashem Safieddine berikrar kumpulan itu akan meningkatkan tekanan, kekuatan, kuantiti dan kualiti serangan, ketika berucap pada upacara pengebumian Taleb.

    Menurut sumber tentera Lubnan, Taleb adalah komander Hizbullah yang paling penting. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China pecat bekas menteri pertahanan

    BEIJING, 28 JUN - Bekas menteri pertahanan China, Li Shangfu telah dipecat daripada Parti Komunis yang memerintah kerana menyebabkan ‘kerosakan besar kepada puncanya’ melalui...