HONG KONG, 20 DIS – Ketua eksekutif Hong Kong hari ini memuji keputusan pilihan raya ‘patriot’ meskipun ia menyaksikan peratusan rendah orang awam yang membuang undi manakala penyokong setia kerajaan wilayah itu mengekalkan setiap kerusi.
Hab kewangan itu memilih ahli parlimen baharu kelmarin di bawah peraturan terkini dikenakan Beijing yang secara dramatiknya mengurangkan kerusi dipilih secara langsung dan mengawal siapa yang akan bertanding selepas protes demokrasi besar-besaran yang melumpuhkan wilayah itu dua tahun lalu. Angka menunjukkan hanya 30 peratus penduduk Hong Kong mengundi, kadar terendah bagi kedua-dua tempoh sejak bandar raya itu diserahkan kepada China pada 1997 dan era jajahan British.
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam mempertahankan sistem baharu itu dan tidak mengendahkan jumlah peratusan turun mengundi.
“Hong Kong kini kembali ke landasan Satu Negara, Dua Sistem,” dia memberitahu wartawan, menekankan model yang China gunakan untuk memberikan wilayah itu sedikit autonomi daripada autoritarian tanah besar.
“Kita tidak boleh meniru bulat-bulat sistem demokratik atau pentadbiran negara-negara Barat,” tambahnya, menekankan bahawa peraturan baharu bermakna elemen ‘anti-China’ kini dihapuskan dan ketenangan politik akan dipulihkan. Apabila ditanya kenapa hanya 1.3 juta daripada 4.5 juta pengundi berdaftar mengundi, dia menjawab, “Apa alasannya, saya tidak dapat menganalisisnya. Awda mungkin perlu meminta pendapat ketua lain.”
Media kerajaan China menggambarkan ia sebagai kejayaan besar. Agensi berita Xinhua mengatakan pilihan raya itu mematahkan ‘pembohongan kuasa-kuasa luar namun dalam masa yang sama mempamerkan keinginan sebenar penduduk di bandar raya China itu.’ – AFP