HK digesa longgarkan perintah kuarantin

HONG KONG, 20 OGOS – Pemimpin-pemimpin perniagaan Eropah memberi amaran bahawa langkah ketat kuarantin dikenakan oleh Hong Kong akan menyebabkan penduduknya ‘terperangkap’ di bandar tersebut, mengancam statusnya sebagai pusat perdagangan antarabangsa.

Dalam sepucuk surat terbuka dihantar kepada ketua eksekutif, Carrie Lam, kelmarin, Majlis Perdagangan Eropah di Hong Kong berkata tindakan terkini bandar tersebut untuk mengetatkan langkah perjalanan masuk ‘adalah keterlaluan’ dan ‘langkah mundur yang signifikan’.

Hab kewangan China itu mengekalkan beberapa langkah paling ketat di dunia, tindakan yang berjaya mengurangkan kes virus pada paras rendah namun menyebabkan ramai penduduk kehilangan punca mata pencarian dalam tempoh 18 bulan kebelakangan.

Mereka yang tiba dari negara-negara berisiko tinggi diwajibkan menjalani kuarantin di hotel selama 21 hari, sementara negara berisiko rendah hanya selama tujuh hari diikuti dengan pemantauan diri selama tujuh hari lagi.

Minggu lalu, pihak berkuasa mengumumkan bahawa pelonggaran sementara beberapa peraturan terpaksa ditarik balik.

Keputusan untuk melarang pelan perjalanan pada penghujung percutian musim panas mencetuskan kekurangan bilik hotel dan menyebabkan ramai di kalangan komuniti peniaga berasa hampa.

“Kami berpandangan bahawa Hong Kong mesti membuka semula pintunya dengan segera atau perintah kuarantin baharu akan menyebabkan ramai komuniti antarabangsa mempersoalkan sama ada mereka ingin terus terperangkap di Hong Kong apabila negara-negara lain terus maju ke hadapan,” ujar Frederik Gollob, pengerusi lembaga pengarah majlis tersebut dalam suratnya.

“Kebimbangan di kalangan komuniti peniaga antarabangsa akan menimbulkan ancaman kepada status Hong Kong sebagai pusat perdagangan antarabangsa.”

Dia menambah bahawa dengan kehadiran varian baharu, vaksinasi akan membantu untuk mengurangkan risiko kes teruk dan kebanyakan negara sudah membuat rancangan untuk menganggap krisis sebagai endemik.- AFP