HONG KONG, 25 FEB – Hong Kong hari ini melaporkan peningkatan mendadak dalam jumlah jangkitan harian COVID-19 kepada lebih 10,000 dalam masa 24 jam lalu, ketika ia memerangi penularan terburuk pandemik itu.
Jumlah kes harian baharu mencecah 10,010, kata pegawai, selepas melepasi angka 6,000 minggu lalu dan 8,000 awal minggu ini dalam penularan yang sukar dikawal. Bandar itu melaporkan lebih 50 kematian sehari, ramai daripadanya adalah warga emas yang tidak mendapatkan vaksin.
Hong Kong juga mengumumkan rancangan untuk menguji setiap orang di bandar separa autonomi itu yang mempunyai populasi 7.4 juta orang bulan depan ketika ia cuba berpegang kepada strategi sifar COVID-19 yang mencontohi pendekatan tegas tanah besar China.
Pakar tanah besar dan syarikat pembinaan juga sedang menyediakan kemudahan ujian sementara dan membina pusat pengasingan bagi mengendalikan jumlah kes yang tinggi.
Pendekatan sifar COVID-19 memerlukan pengasingan ke atas setiap orang yang diuji positif, meskipun tanpa menunjukkan gejala, bagi mencegah penularan.
Hong Kong memulakan sistem pas vaksin minggu ini, memerlukan orang ramai memasuki kompleks membeli-belah, restoran, gim dan premis lain mestilah divaksinasi. Keperluan itu mengakibatkan ramai yang belum divaksin, bergegas mendapatkan suntikan vaksin. – AP
