HONG KONG, 10 OKT – Pemimpin Hong Kong hari ini berkata bandar raya itu akan berusaha untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan perdagangannya dengan Thailand selepas pertemuan dengan perdana menteri negara itu, ketika hab kewangan China berkenaan mencari lebih banyak peluang perniagaan di Asia Tenggara.
Ketua Eksekutif, John Lee berkata pada taklimat akhbar mingguan bahawa beliau dan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin bersetuju semasa mesyuarat semalam bahawa kedua-dua pihak mempunyai ‘hubungan yang baik dan rapat’ dan mereka akan menggalakkan lebih banyak pertukaran antara rakyat mereka.
Pentadbiran Lee mahu mengembangkan peranan bandar itu di Asia Tenggara untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi hab kewangan itu selepas bertahun-tahun sekatan COVID-19. Ia bertujuan untuk meletakkan bandar itu sebagai jambatan penghubung antara tanah besar China dan masyarakat antarabangsa.
Lee berkata Hong Kong akan berusaha untuk memperdalam kerjasama serantau dan mengukuhkan usahanya dalam aktiviti ekonomi, perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara dalam Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
Sejak 2010, ASEAN telah menjadi rakan niaga kedua terbesar Hong Kong, kata kerajaan.
Srettha tiba di Hong Kong pada Ahad untuk lawatan tiga hari. Beliau bertemu dengan pegawai dan pemimpin perniagaan termasuk Bernard Chan dan Allan Zeman, menurut catatannya di platform X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Dalam satu kenyataan akhbar semalam, Lee turut berterima kasih kepada Thailand kerana menyokong usaha Hong Kong untuk menyertai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau, perjanjian perdagangan utama 15 negara yang berkuat kuasa tahun lepas. – AP


