BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Frigat Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Toowoomba dalam lawatan selama empat hari ke negara ini untuk mengukuhkan hubungan ketenteraan dan budaya antara kedua-dua negara sambil menjalani latihan operasi bersama Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).
Setibanya HMAS Toowoomba di Pangkalan TLDB Muara Selasa lalu, kakitangan kapal bersama wakil-wakil dari TLDB mengadakan kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan Tugu Peringatan Brunei-Australia di Pantai Muara.
Pada Rabu pula, lebih 150 anggota tentera laut Australia menghadiri acara peringatan Hari Anzac di Pantai Muara sebelum HMAS Toowoomba mengalu-alukan tetamu VIP untuk sarapan pagi tradisional Hari Anzac.
Sementara itu, Panglima Stuart Watters dari HMAS Toowoomba bertemu dengan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud dan Pemerintah TLDB, Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad dalam satu kunjungan hormat sempena lawatan ini.
Di samping itu, para pelajar dan guru dari lima buah sekolah juga diberi peluang untuk melawat HMAS Toowoomba dan melihat sendiri bagaimana kakitangan angkatan laut hidup dan bekerja di atas kapal sambil mencuba beberapa peralatan khusus di atas kapal berkenaan.


HMAS Toowoomba juga menjadi tuan rumah kepada pertemuan antara agensi kerajaan Australia dan Brunei bagi membincangkan pendekatan untuk keselamatan maritim sebelum dijadualkan berlayar dari Muara Jumaat ini.
HMAS Toowoomba merupakan sebahagian daripada kumpulan petugas HMAS Anzac dan HMAS Success untuk tugasan di Asia Tenggara bagi menyertai latihan dengan negara-negara di rantau ini.