KUALA LUMPUR, 6 JAN – Tiada keperluan untuk amaran awam atau panik mengenai Human Metapneumovirus (hMPV) kerana virus itu diketahui mempunyai pola pengulangan bermusim.
Ahli virologi molekul di Sekolah Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah Universiti Monash Malaysia, Prof Madya Dr B. Vinod berkata hMPV tidak mempunyai tahap jangkitan dan penyebaran tanpa gejala yang tinggi seperti mana COVID-19.
Dr Vinod berkata walaupun China mencatatkan lonjakan penyakit pernafasan bermusim termasuk hMPV, syncytial respiratory virus (RSV) dan influenza, tiada bukti yang menunjukkan ia boleh menyebabkan ancaman pandemik global seperti COVID-19.
Beliau berkata Malaysia mempunyai kes jangkitan hMPV serta virus pernafasan lain yang wujud sebelumnya dan kedatangan pelancong tidak mungkin mewujudkan patogen baharu atau yang tidak dikenali kecuali dengan pemantauan.
“Tidak seperti SARS-CoV-2 (yang menyebabkan COVID-19) pada 2020, hMPV tidak menular seluas itu tanpa gejala dan keseriusannya secara umum boleh diuruskan dalam populasi yang sihat,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.
Dr Vinod berkata kumpulan berisiko tinggi yang dikenal pasti dijangkiti hMPV termasuk anak damit dan kanak-kanak terutamanya di bawah usia setahun, golongan warga emas yang mungkin mempunyai sistem imun lebih lemah, serta
individu immunocompromised seperti me-reka yang menjalani rawatan kemoterapi atau menghidap penyakit kronik.
“hMPV, COVID-19 (yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2) dan influenza ialah virus pernafasan tetapi berbeza tahap keseriusan dengan COVID-19 dan influenza (selesema) bermula dari tahap ringan hingga teruk. Sebaliknya, hMPV secara umumnya hanya menyebabkan penyakit pernafasan ringan hingga sederhana.
Walau bagaimanapun, bagi golongan berisiko tinggi, ia boleh menyebabkan keadaan yang teruk seperti bronkitis atau radang paru-paru. Jangkitan hMPV lebih kerap berlaku pada penghujung musim sejuk dan musim bunga, sama seperti influenza,” katanya.
Mengulas gejala hMPV, Dr Vinod berkata jangkitan virus ini biasanya menyerupai selesema biasa yang mungkin termasuk batuk, demam, hidung berair atau tersumbat, sakit tekak, nafas berbunyi, sesak nafas dan kadangkala ruam.
Beliau berkata hMPV merebak terutamanya melalui sentuhan langsung rembesan berjangkit seperti air liur, titisan pernafasan apabila seseorang yang dijangkiti batuk atau bersin dan/atau menyentuh permukaan tercemar dengan virus dan kemudian menyentuh mulut, hidung atau mata sebelum mencuci tangan.
Untuk mengurangkan risiko jangkitan hMPV, Dr Vinod menasihatkan orang ramai supaya kerap mencuci tangan dengan sabun dan air sekurang-kurangnya 20 saat atau menggunakan pencuci tangan berasaskan alkohol serta mengelakkan daripada menyentuh mata, hidung atau mulut dengan tangan yang tidak dibasuh. – Bernama