Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ho Chi Minh isytihar wabak campak

    HO CHI MINH CITY, 28 OGOS – Jawatankuasa Rakyat Ho Chi Minh City kelmarin mengisytiharkan wabak campak di seluruh bandar berikutan peningkatan mendadak dalam kes, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

    Jawatankuasa itu juga mengeluarkan pelan untuk bertindak balas secara proaktif terhadap wabak campak itu. Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan telah diminta untuk bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk segera melaksanakan aktiviti bagi mencegah dan mengawal penularan campak, termasuk vaksinasi.

    Jabatan itu juga dikehendaki mengarahkan kemudahan kesihatan tempatan untuk memberikan rawatan segera kepada pesakit campak bagi meminimumkan kes-kes yang serius dan kematian serta melaporkan sepenuhnya kes campak dan wabak campak mengikut peraturan.

    Jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan diminta untuk kerap menjalankan pemeriksaan antara sektor dalam pencegahan dan kawalan wabak serta mengambil tindakan tegas terhadap individu dan organisasi yang melanggar peraturan pencegahan
    sehingga menyebabkan penularan penyakit.

    Bandar itu akan melancarkan kempen untuk menambah vaksinasi campak kepada semua kanak-kanak berumur satu hingga lima tahun di kawasan berkenaan, tanpa mengira rekod vaksinasi sebelumnya.

    Gambar Freepik

    Statistik daripada Pusat Kawalan Penyakit Bandaraya Ho Chi Minh menunjukkan bahawa dalam seminggu yang lepas, bandar ini mencatatkan 85 kes demam disertai ruam dengan 20 kes disahkan sebagai campak.

    Sejumlah 525 kes demam disertai ruam telah dilaporkan sejak awal tahun ini.

    Campak adalah penyakit pernafasan yang sangat mudah berjangkit dan boleh merebak dengan cepat selepas tempoh inkubasi selama tujuh hingga 21 hari.

    Pakar perubatan memberi amaran bahawa penyakit ini boleh membawa kepada komplikasi serius termasuk radang paru-paru, ensefalitis, otitis media, keratitis, cirit-birit dan juga kematian.

    Campak hanya boleh dikawal dengan berkesan apabila kadar imuniti komuniti mencapai 95 peratus dan setiap individu telah menerima dua dos vaksin. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda