Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hobi bermotosikal jadikan Labuan hab bikers

    Oleh Jailani Hasan

     

    LABUAN, 1 Jan – Minat seorang peneraju korporat menunggang motosikal berkuasa tinggi banyak membantu pulau bebas cukai ini muncul sebagai hab peminat-peminat ‘biking’.

    Peminat-peminat itu bukan sahaja datang dari Sabah, Sarawak dan Brunei yang terletak berdekatan, malah dari sejauh Semenanjung dan Indonesia.

    Aktiviti yang bermula sebagai rekreasi bagi Datuk Sri Mohd Alias Abd Rahman akhirnya berubah menjadi hobi amat bermakna selepas beliau menubuhkan

    “Smart Ryders Club (SRC) dan membuka galeri Harley-Davidson, di sini.

    Jelas sekali Alias, yang merupakan ketua pegawai eksekutif Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, sangat berminat dan berpuas hati dengan aktiviti biking dan sedia berkongsi pengetahuan dengan mereka yang mempunyai minat serupa.

    Pemilik Galeri Harley Davidson Labuan Smart Ryders Club bergambar bersama para pengunjung dari dalam dan luar negara. – Bernama
    Pemilik Galeri Harley Davidson Labuan Smart Ryders Club bergambar bersama para pengunjung dari dalam dan luar negara. – Bernama
    Galeri Harley Davidson Labuan Smart Ryders Club turut menerima kunjungan daripada artis Malaysia Awie. – Bernama
    Galeri Harley Davidson Labuan Smart Ryders Club turut menerima kunjungan daripada artis Malaysia Awie. – Bernama

    Bagi beliau, memiliki sebuah galeri Harley-Davidson bukan sahaja manifestasi satu corak gaya hidup, malah ia sebahagian hidupnya.

    Galeri yang bertempat di rumah kelab SRC di Jalan Gersik Baru, di sini, hanya mempamer dan menjual cenderahati tulen Harley-Davidson, daripada lencana, topi keledar, jaket, baju sehinggalah motosikal jenama itu yang dibawa masuk terus dari Amerika Syarikat.

    “Saya mahu menambah lagi koleksi dalam galeri ini selain mempelbagai pilihan cenderahati yang sedia ada,” katanya, dan menambah kata bahawa beliau pernah melawat pusat-pusat Harley-Davidson di luar Malaysia, seperti di Singapura, Brunei, Thailand dan Filipina.

    Dan pastinya, Amerika Syarikat, yang merupakan negara asal bagi jenama itu di mana terdapat penjual-penjual terbesar dan tersohor motosikal berkenaan. Alias, antara lain pernah melawat Laidlaw’s Harley Davidson, antara pengedar tertua dan terbesar motosikal Harley-Davidson di Los Angeles; North County’s House of Motorcycles di San Diego; dan Bartels’ Harley-Davidson di Marina del Rey, kesemuanya di California.

    Menyumbang kepada pelancongan

    Pembukaan galeri Harley-Davidson di Labuan sedikit sebanyak membantu meningkatkan profil pulau itu di kalangan masyarakat biking di seluruh negara.

    Menurut Alias, jelajah motosikal seperti Borneo Island International Big Bike Festival, Labuan Island Bike Week, Tawau Bike Festival, Beaufort Bike Week, Sibu Bike Week, Miri Bike Week dan Harley Owners Group (HOG) bukan sahaja berjaya mengumpulkan para penunggang motosikal berkuasa tinggi di Labuan malah secara tidak langsung menyumbangkan kepada sektor pelancongan.

    Alias, yang mempunyai empat anak lelaki dan seorang anak perempuan, berkata beliau mula menunggang motosikal sebagai hobi pada awal 1980-an.

    “Pada mulanya, saya menunggang secara konvoi bersama kakitangan syarikat di sekitar Labuan…kemudiannya pergi lebih jauh sehingga ke Sabah dan Sarawak,” katanya dan menambah kata, beliau juga menganjurkan ataupun membantu acara-acara motosikal serta yang berkaitan.

    Alias mengambil serius hobinya dan percaya ia satu-satunya cara beliau boleh mencapai kepuasan. “Apabila saya menunggang, (saya rasa) bagaikan sedang bekerja,” katanya.

    Galeri Harley Davidson Labuan Smart Ryders Club menerima kunjungan yang amat menggalakkan daripada orang ramai terutamanya peminat tegar motosikal. – Bernama
    Galeri Harley Davidson Labuan Smart Ryders Club menerima kunjungan yang amat menggalakkan daripada orang ramai terutamanya peminat tegar motosikal. – Bernama

    Pada peringkat awal, beliau menunggang motosikal model SYM dan mendapati dirinya semakin meminati aktiviti itu, malah tertarik dengan motosikal berkuasa tinggi.

    “Tidak lama kemudian, saya beralih kepada Can-Am Spyder, kemudian Honda Gold Wings, Ducati dan pada 1994, saya bangga menjadi pemilik Harley-Davidson Sportster 1200! Ketika itu, motosikal menjadi kegilaan.”

    Menunggang untuk kebajikan

    Selain meladani keghairahan menunggang motosikal berkuasa tinggi, Alias juga gemar merentasi keindahan landskap Borneo dan bertemu orang ramai daripada pelbagai kaum.

    “Untuk menguji kemahiran menunggang dan mempertingkat daya tahan dalam mengharungi jarak jauh, saya melakukan beberapa perjalanan mengujakan ke lokasi-lokasi menarik di Sabah dan Sarawak.

    “Pada mulanya, kami melakukannya bagi tujuan rekreasi tetapi kemudiannya sedar bahawa ada baiknya aktiviti itu dilakukan demi kepentingan masyarakat setempat yang ditemui dalam perjalanan di Sabah di mana kami menggunakan sumber kewangan sendiri untuk membeli makanan bagi mereka,” katanya.

    Alias dan para penunggang yang menyertainya meneruskan inisiatif itu dibawah naungan Smart Ryders Club.

    “Kini, apabila kami menunggang dalam kumpulan yang besar, kami bukan berkonvoi untuk berseronok sahaja…tetapi juga untuk menymbang ke arah kebajikan masyarakat.”

    Dan apabila Alias tidak terlalu sibuk menguruskan syarikatnya atau menunggang motosikal jauh ke pedalaman Borneo, beliau meluangkan masa di galeri Harley-Davidson kepunyaannya itu, bersama para penunggang lain – antaranya penyanyi rock dan pelakon Awie – dan dari seluruh pelosok negara termasuk Brunei dan Indonesia. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda