Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Hobi kumpul barang antik bantu pulihara khazanah lama

    Oleh Nurdiyanah R.

    Hobi mengumpul barangan antik bukan saja dapat memulihara barangan lama dengan baik tetapi ia juga penting sebagai ristaan generasi terkini.

    Biarpun kelihatan lama dan ada yang berkarat, namun barangan tersebut masih menjadi tumpuan ramai. Umpama dilamun cinta, itulah yang dapat digambarkan dalam ungkapan jiwa seseorang yang menggemari khazanah barang lama sehingga sering kali menyebabkan mereka terbayang-bayang barangan yang mereka idamkan untuk dimiliki.

    Semakin tua usianya maka semakin tinggi harganya, begitulah hakikat nilai untuk barangan antik khususnya yang diperbuat daripada tembaga.

    “Bagaikan teman sejati di hati saya. Itulah yang saya rasakan apabila menyaksikan barang-barang lama ini. Namun hakikatnya minat dalam dunia barang-barang sebegini sememangnya terlahir dengan adanya kecintaan atau minat yang serupa daripada kedua-dua orang tua saya,” itulah antara kata-kata yang diungkapkan oleh Awang Hamzah yang memiliki hobi pengumpul barangan antik sekali gus menjadikannya sebagai usahawan sambilan tanah air, semasa ditemui penulis di sekitar ibu negara, baru-baru ini.

    Berusia ratusan tahun

    Awang Hamzah yang berusia dalam lingkungan 50an menjelaskan kebanyakan barangan antik yang dikumpulkan ini merupakan barangan antik zaman silam yang berusia ratusan tahun. Sebahagian yang beliau miliki berasaskan daripada pelbagai barang koleksi peribadi kedua-dua orang tuanya.

    Koleksi barangan antik milik Awang Hamzah bukan sahaja dapat menarik minat masyarakat di negara ini bahkan juga para pelancong luar.
    ATAS & BAWAH: Antara barang antik yang ada dalam simpanan Awang Hamzah pada masa ini seperti, celapa, pasu, acuan kuih bahulu, seterika dan sebagainya.

    Di samping itu, beliau juga memperolehinya melalui pembelian daripada para pengumpul barangan antik dari negara-negara jiran seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura termasuklah juga di negara ini. Dalam pada itu, barang-barang antik yang ada dalam simpanannya pada masa ini berjumlah lebih 40 jenis seperti tapak sirih, meriam, bedil, lampu, celapa, gangsa, pasu, gong, acuan kuih bahulu, seterika, periuk dan sebagainya.

    Unik dan sungguh menenangkan

    Selain itu, Awang Hamzah turut berkongsi kegembiraan bahawa dengan adanya jualan seperti ini, ia sememangnya bermatlamat untuk menarik minat masyarakat di negara ini khususnya generasi penerus dan akan datang agar sentiasa memiliki rasa kecintaan dalam memulihara dan memartabatkan barangan warisan nenek moyang kita.

    Hal ini amat penting disemai dalam diri dan jiwa semua lapisan masyarakat agar keindahan dan keunikan yang dimiliki oleh bangsa Melayu tidak pupus ditelan zaman.

    “Begitu unik dan sungguh menenangkan. Itulah yang saya rasakan apabila melihat khazanah barang-barang lama ini,” ujarnya lagi dengan penuh ketulusan.

    Dalam pada itu, di akhir perkongsian, Awang Hamzah turut mengungkapkan perasaan gembira dengan mengetengahkan barangan antik tersebut kepada orang ramai. Ia bukan hanya dapat menarik minat golongan masyarakat di negara ini bahkan juga para pelancong luar agar mereka mengetahui Brunei juga mempunyai keindahan khazanah kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat tempatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...