Wednesday, September 18, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hobi kumpul barangan antik jadi terapi Siti Fairus

    KUALA LUMPUR – Minat mengumpul koleksi barangan antik bukan sekadar untuk mempertahan barangan pusaka, tetapi bagi penyanyi era 80an Datuk Siti Fairus, hobi itu juga merupakan satu bentuk terapi diri.

    Hobi tersebut yang dimulakan lebih 30 tahun lepas, bukan sahaja memberikan ketenangan jiwa tetapi juga menjadi cara penghibur yang lebih suka membahasakan dirinya Mummy itu menguruskan tekanan dalam kehidupan seharian.

    Menurut Siti Fairus atau nama sebenarnya Siti Fairus Sheikh Mohamad, 60, aktiviti membersihkan dan mengilatkan barangan antik yang penuh sejarah dengan bantuan suaminya, Syed Mohamed Syed Ismail, 73, memberi ketenangan minda buat mereka.

    “Mummy juga menggemarinya sebab nak pertahankan barang-barang pusaka dan pastikan anak cucu Mummy serta generasi akan datang kenal asal usul barang-barang lama,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat Sri Aman, Taman Sri Aman, Jinjang, baru-baru ini.

    Menurut pelantun lagu hits, Bila Rindu Ku Sebut Namamu itu, koleksi yang dimilikinya sama ada dibeli atau diberikan oleh rakan-rakannya.

    Antara item yang dimiliknya ialah batu giling, periuk kuih bahulu, tepak sirih, koleksi labu sayong, congkak, mesin jahit kaki kayu, pinggan mangkuk dan pelbagai jenis sudip kayu lama.

    Menurut anak jati Kuatan, Pahang itu, ada barangan tersebut bernilai ratusan hingga ribuan ringgit dan beliau turut mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berhasrat menjual item antik kepadanya.

    “Kalau tiada dalam koleksi dan harga yang munasabah, Mummy akan beli. Mummy tidak akan menjualkannya semula walaupun ditawarkan dengan harga yang lumayan,
    “Kalau Mummy sudah meninggal dunia, terserahlah kepada anak cucu Mummy untuk menjaga atau menjualkannya semula kepada orang lain,” katanya.

    Beliau turut berharap mereka yang mempunyai minat sepertinya menjaga barangan lama terbabit dengan baik agar dapat digunakan untuk tempoh yang lama. – Bernama

    Datuk Siti Fairus menunjukkan sebahagian daripada koleksi barangan antik miliknya yang dikumpul lebih 30 tahun, termasuk periuk kuih bahulu dan alat memasak lama. – Bernama
    Gambar Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda