Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hobi memelihara haiwan eksotik

    Oleh Haniq Raffael

     

    KITA sering kali mendengar kebanyakan hobi para remaja ialah seperti memelihara kucing, arnab, burung dan juga ular. Namun pernahkah anda terfikir untuk memelihara cicak sebagai haiwan peliharaan anda?

    Haiwan peliharaan adalah haiwan domestik atau haiwan yang dijinakkan untuk dijadikan teman, perlindungan atau hiburan. Haiwan yang sering dipelihara adalah seperti kucing, anjing, arnab, burung, hamster, dan sebagainya. Ada juga yang memelihara reptilia seperti jenis cicak atau ular sebagai haiwan peliharaan.

    Membela haiwan eksotik mungkin bukan lagi satu kelainan di negara ini, tetapi  bagi Awang Mohd Nur Herdy Herriman bin Hemran, 22 tahun yang tinggal di Perumahan Tanah Jambu mempunyai keupayaan lebih daripada itu. Anak muda berusia 22 tahun itu bukan hanya membela, tapi turut berkebolehan menjinakkan haiwan berkenaan.

    Baginya, membela haiwan peliharaan itu satu urusan remeh yang memerlukan perbelanjaan besar. Ia dianggap agak luar biasa, apatah lagi jika mahu dibandingkan keadaannya sebelum ini yang langsung tidak gemar memelihara haiwan seperti ular. “Tetapi semua ini telah mengubah fikiran dan minat saya, apabila pada suatu hari ibu membawa saya ke salah sebuah Reptile Show yang juga dimiliki oleh pemilik tempatan kitani, dan bermulalah dari pertunjukan reptilia tersebut keinginan dan minat saya yang mendalam terhadap reptilia dan haiwan reptilia pertama milik saya ialah ular jenis Ballpython yang saya beli dari laman media sosial dengan harga $100.00 sahaja,” kata Awang Mohd Nur Herdy memulakan cerita.

    Siapa kata bergelar penjaga haiwan itu mudah. Bukan calang-calang orang boleh melakukannya jika tiada minat dan kesabaran yang tinggi dan sebagai pemilik haiwan reptilia pada mulanya memang sukar dan mencabar apatah lagi pertama kali mula berhadapan dengan haiwan-haiwan tersebut.

    Cicak jenis leopard gecko milik Awang Mohd Nur Herdy paling mudah dijaga, jimat kos dan boleh didapati dalam pelbagai warna seperti hitam, putih, kuning dan jingga.
    Awang Mohd Nur Herdy juga meminati beberapa jenis burung dan berkongsi minat yang sama bersama adik beliau.

    Ujarnya, cabaran dalam menghadapi haiwan peliharaannya begitu sukar terutama sekali dari segi memegang haiwan tersebut dan untuk mengetahui tindak-tanduk haiwan peliharaan, dan juga tingkah laku haiwan berkenaan, ada ketikanya juga berhadapan dengan keselamatan diri namun tugasan tersebut sudah sebati dalam jiwa.

    Jelasnya lagi ular-ular yang dimilikinya tidak berbisa begitu juga dengan haiwan lain miliknya, namun bagi mereka yang tidak mengenali dan pertama kali melihat serta berhadapan dengan haiwan peliharaannya pasti merasa gementar, takut dan geli untuk menyentuhnya apatah lagi beliau sendiri, namun setelah mengenali dan memahami setiap reptilia peliharaannya ia tidaklah seperti yang dijangkakan.

    Setiap haiwan yang dijaga katanya mempunyai sifat dan penjagaan yang berbeza, ilmu dan kepekaan terhadap tabiat haiwan tersebut dengan alam semula jadi sangat membantu untuk mudah kita menguruskannya.

    “Sebelum membuat keputusan untuk memelihara haiwan reptilia tersebut, saya terlebih dahulu mempelajari mengenai haiwan-haiwan berkenaan melalui Google dan orang-orang yang berpengalaman dan saya juga turut mempelajari beberapa haiwan reptilia yang sesuai untuk saya pelihara malahan keputusan saya untuk memelihara haiwan-haiwan reptilia juga mendapat sokongan daripada ibu bapa saya,” jelasnya.

    Setakat ini Awang Mohd Nur Herdy memelihara empat ekor ular terdiri daripada ular jenis ballpython, cornsnake,burmese python dan empat ekor leopard gecko yang berlainan corak dan warna. selain reptilia ahli keluarga beliau juga memelihara beberapa jenis haiwan lain seperti burung cockatiel kepunyaan adik beliau, kucing domestik, ayam serama  yang mana semua ini dijadikan hobi sekeluarga.

    “Saya memilih leopard gecko kerana reptilia ini paling mudah dijaga, menjimatkan kos dan boleh didapati dalam pelbagai pilihan warna seperti hitam, putih, kuning dan jingga.

    Platform media sosial

    Menurutnya lagi, kesemua haiwan ini dibeli melalui laman sosial media Facebook (dari Brunei) ada juga di antaranya dibeli daripada Reptile Show Brunei (yang berdaftar) dan modal untuk seekor ular tidak melebihi dari $200.

    Di antara kesemua binatang peliharaan milik Awang Mohd Nur Herdy albino burmese antara yang susah diperolehi dan amat jarang tapi dengan adanya media sosial dan ia memudahkan beliau untuk mendapatkan dan memilikinya manakala nilai harga haiwan yang paling tinggi setakat harganya yang dimiliki hanyalah sekitar $200  ringgit sahaja.

    Katanya lagi, setiap hari beliau berhubung dan kadang-kadang bercakap dengan haiwan tersebut, ternyata berkomunikasi dan menguruskan haiwan lebih mudah daripada menguruskan manusia. “Manusia banyak perangai tetapi haiwan kita kena tahu tabiat dan cara untuk mengendalikan mengikut situasi,” katanya lagi.

    Tambahnya lagi rutin harian menjaga haiwan peliharaan tidak pernah menimbulkan perasaan penat dan jemu, setiap hari haiwan ini perlu diperiksa tahap kesihatannya pada awal pagi sebelum melakukan tugasan-tugasan lain selain membersihkan tempat tinggal dan kandang haiwan tersebut kerana kebersihan penting supaya haiwan tidak mudah dijangkiti penyakit berjangkit.

    “Rutin seterusnya, haiwan berkenaan akan diberi makan pada jam yang telah ditetapkan, bagi saya sendiri penjagaan haiwan-haiwan peliharaan saya ini ianya tidaklah sesukar mana dan tidak begitu berbahaya bagi orang yang sudah tahu cara menjaganya,

    “Kesabaran dan kerap meluangkan masa dengan haiwan peliharaan menjadikan saya lebih rapat dengan haiwan peliharaan di samping itu juga saya menitik beratkan penjagaan dan kebersihan tempat tinggal mereka. Saya memberi makan sekali dalam seminggu dan dua hari sekali bagi leopard gecko dan juga akan menjemur haiwan peliharaan saya pada waktu-waktu tertentu,” terang Awang Mohd Nur Herdy.

    Modal bagi pemakanan haiwan ini pula ujar beliau menelan belanja sebanyak $60 hingga $80 ringgit sebulan manakala modal bagi tempat tinggal haiwan berupa akuarium dan beberapa rak besi yang dibuat oleh ayahnya sendiri, memandangkan ayahnya mempunyai perniagaan welding sendiri sedikit sebanyak mengurangkan kos perbelanjaan dalam memberikan tempat kediaman haiwan peliharaan yang lebih selesa.

    Selain Awang Mohd Nur Herdy sendiri yang memang sering bersama haiwan-haiwan peliharaannya ada juga di kalangan saudara mara dan sahabat yang berkunjung untuk melihat haiwan-haiwan reptilia peliharaannya dan ada juga yang turut menyentuh haiwan-haiwan tersebut namun sebelum menyentuhnya sudah pasti beliau akan memberikan tip-tip cara memegang dan berhadapan dengan haiwan-haiwan berkenaan dan antara nasihat yang diberikan adalah untuk sentiasa bersikap tenang dan tidak mengejutkannya.

    Menyentuh mengenai dengan perancangan di masa hadapan jelas Awang Mohd Nur Herdy di mana beliau sememangnya mempunyai  perancangan di masa hadapan salah satunya memperbanyakkan lagi haiwan peliharaannya. Jika ada minat dengan sesuatu perkara, semua benda jadi mudah. Begitu juga untuk memiliki, menjaga haiwan yang pelbagai spesies dan ragam.

    “Disebabkan minat dan kecintaan terhadap makhluk tuhan itu lah juga saya meletakkan impian saya untuk membina satu mini zoo atau mungkin reptile show sendiri, yang mana saya sudah berikan nama iaitu R.DY REPTILES,” jelasnya mengakhiri perbualan bersama Media Permata.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda