Tuesday, December 3, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hobi mengait jadi terapi diri, jana pendapatan

    KUALA LUMPUR – Setiap orang memiliki hobi tersendiri dan mengait adalah satu daripada aktiviti santai yang kekal popular dengan pelbagai hasil produk boleh dihasilkan, daripada alas kusyen dan meja hingga kepada beg tangan, beg tote serta bekas botol air.

    Bernama menjejak dua orang wanita yang berjaya menjadikan bidang mengait sebagai sumber pendapatan iaitu Noorhafizah Hamid, 45, dan Norliza Ghazila, 35.

    Menurut Noorhafizah yang berasal dari Jengka, Pahang, beliau mula mengait kira-kira dua dekad lalu selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini adalah pengait sepenuh masa menggunakan jenama Izariecraft Handmade bagi produk kait yang dihasilkan.

    “Semasa awal pembabitan dalam bidang mengait ini, saya banyak belajar daripada arwah kakak saya, Noorsahlawati. Kakak mengajar perkara asas, selebihnya saya pelajari dari tutorial melalui kelas-kelas dalam talian.  Saya juga banyak menonton cara mengait daripada YouTube dan Pinterest,“ katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

    Noorhafizah yang beroperasi sepenuhnya dari rumahnya di Pekan (Pahang), menyifatkan mengait sebagai satu terapi yang memberikan ketenangan luar biasa buat suri rumah seperti dirinya selain menghindarkan diri daripada tekanan.

    Mengait adalah satu daripada aktiviti santai yang kekal popular dengan pelbagai hasil produk boleh dihasilkan. – Unsplash
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    “Mengait menjadikan saya insan yang lebih teliti dalam segala hal. Sepanjang menghasilkan produk mengait ini, saya turut melihat karya pengait dari luar negara seperti di negara Arab, Indonesia dan Thailand kerana reka cipta serta produk mereka lebih terkini. Boleh dikatakan prospek pasaran negara luar dalam bidang ini sangat tinggi nilainya jika dibandingkan dengan Malaysia,” katanya.

    Selain tas tangan, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu turut menghasilkan kopiah yang tertera nama, topi (beach hat) serta selimut.
      
    CABARAN

    Hampir dua dekad mengait, Noorhafizah berjaya menghasilkan lebih 1,000 produk kait dan pastinya setiap barangan memberikan cabaran tertentu.

    Untuk menyiapkan sebuah beg tangan, ia memakan masa kira-kira seminggu mengikut saiz dan bentuk, diikuti sarung bekas botol air selama sehari, amigurumi (anak patung mainan) dalam masa dua hari mengikut saiz manakala kopiah dapat dibuat sehari sahaja.

    “Paling mencabar dalam mengait ini adalah semasa membuat beg dan amigurumi. Ini kerana kedua produk ini ada corak tertentu yang memerlukan fokus mendalam.

    Contohnya, beg perlu menepati permintaan pelanggan. Lapik dalam beg pun kena buat sekiranya pelanggan mahu.

    “Begitu juga dengan amigurumi juga agak mencabar, adakalanya mengikut kehendak yang dipinta pelanggan yang mahu sempurna. Sebab itu faktor emosi sangat memainkan peranan semasa mengait,” katanya memaklumkan setakat ini beg tangan paling mendapat permintaan tinggi.

    Mengenai benang mengait yang digunakan, Noorhafizah berkata ia adalah jenis polypropylene (pp) dan pp spring, buatan China dan Indonesia.

    “Memang banyak benang akan digunakan terutama beg tangan memerlukan dua relung benang. Setiap jenis benang juga tidak sama teksturnya dan saya mendapatkan
    kesemua benang ini daripada penjual tempatan,” katanya.

    Bagi menghasilkan beg tangan yang memukau, kombinasi warna amat penting dan kebiasaannya pelanggan memilih sendiri warna kesukaan mereka.

    Jelas Noorhafizah, gabungan warna sangat mustahak untuk menampakkan sesuatu tas atau beg tangan itu menarik. 

    “Selalunya untuk lebih kelihatan elegan, warna merah akan dipadankan dengan hitam manakala coklat pula bersama hijau emerald,” katanya yang tidak terkecuali daripada melalui episod pahit manis apabila produk yang dibuat tidak menjadi dan perlu dibuka semula.

    Selain detik pahit lain, beliau juga pernah ditipu pelanggan.

    Berkongsi sedikit kekecewaan, Noorhafizah menyentuh tentang ketiadaan garis panduan daripada segi harga barangan kait dan ada kalanya ia tidak berbaloi dengan usaha dan tenaga yang dicurahkan.
     
    ADAKAN KELAS PJJ

    Tidak terhenti di situ sahaja, Noorhafizah juga tidak lokek berkongsi ilmu dimilikinya kepada mereka di luar sana yang ingin mempelajari ilmu seni kait.

    “Saya adakan kelas melalui Telegram serta dalam kumpulan Facebook peribadi (FB
    group private). Tiada had masa untuk satu kelas dan bayaran adalah seikhlas hati. Setakat ini lebih 20 kelas berjaya diadakan dengan setiap kelas disertai 50 hingga 100 peserta,” katanya.

    Menurutnya lagi, bergantung pada kesungguhan dalam mempelajari seni tersebut, lazimnya seseorang dapat menguasai kemahiran berkenaan dalam tempoh sebulan. 

    Sehingga kini, pelanggan Noorhafizah adalah daripada kalangan dalam talian yang diterima menerusi Instagram, TikTok dan Facebook. Harga produk yang dijual bermula daripada RM80 hingga RM250 untuk beg tangan manakala harga kopiah bagi kanak-kanak RM25 dan RM40 untuk dewasa.

    Dalam sebulan, beliau mampu menghasilkan antara 10 hingga 20 buah beg, 50 kopiah dengan pendapatan kira-kira RM2,500 (tidak termasuk kelas dalam talian).

    Melihat jauh ke hadapan, Noorhafizah bercita-cita untuk membuka sebuah kedai kraf yang lengkap dengan peralatan untuk mengajar secara langsung atau bersemuka.

    “Dengan adanya kedai sendiri boleh saya mengajar anak-anak setempat mengait sekali gus mereka mengetahui bagaimana menambah pendapatan melalui kraf mengait.

    “Golongan muda sekarang memang memerlukan kemahiran mengait. Walaupun
    hanya dari rumah mampu menjana pendapatan sendiri tanpa perlu bergantung kepada suami atau keluarga,” katanya. 
     
    PELUANG TAMBAH PENDAPATAN 

    Bagi Norliza, seorang suri rumah yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan, beliau baru berjinak dalam kraf kait pada awal Disember 2023 dan menyifatkan hobi baharunya itu sebagai terapi yang memberi ketenangan setelah penat melayan kerenah anak-anak sehari suntuk.

    “Apabila dapat pegang jarum kait terus berasa lega dan kini ia seperti satu ketagihan pula.

    Walau apa pun tidak dinafikan kesabaran dan ketelitian sangat menguji diri ketika memulakan langkah mengait.

    “Jika tersilap kiraan memang kena cabut balik. Namun bila dapat hasil yang sempurna, hati sangat bahagia dan berbunga-bunga.

    “Pada saya, hikmah dalam mengait ini ialah kita dapat mempelajari ilmu daripada zaman nenek moyang sehingga membuatkan saya terfikir betapa hebat dan kreatifnya seni orang-orang lama,” kata pemegang Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat di Universiti Sains Islam Malaysia.

    Berhubung cabaran dalam menghasilkan produk kait, ibu kepada dua cahaya mata perempuan berumur lapan dan lima tahun itu berkata, kos bahan yang semakin meningkat seperti benang serta aksesori menjadi faktor kekangan.

    “Hendak mengait juga kena pastikan jari-jemari berada dalam keadaan elok. Silap teknik boleh kejang jari sehingga hendak luruskan jari pun sakit. Tapi semua itu hilang tatkala produk yang kita lakukan mencapai kepuasan pelanggan. Pujian dari mereka menaikkan lagi semangat untuk terus mengait,” katanya yang mula belajar daripada adik kemudian meluaskan pengetahuan kait dengan merujuk YouTube, TikTok serta bertanya rakan-rakan yang mahir mengait.

    Antara produk yang dihasilkan adalah beg dan yang paling mendapat sambutan pelanggan.

    Menurut Norliza, kebanyakan yang menempah adalah sahabat, saudara serta kenalan dalam media sosial dan kini boleh dikatakan beliau tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.

    Namun beliau bersyukur kerana hasil mengait dapat membantu beroleh pendapatan tambahan.

    “Sepanjang dua bulan terlibat dengan seni kait ini, alhamdulilah berbaloi anggaran sebulan mendapat tempahan lebih kurang lima hingga lapan buah beg dan setakat ini saya berjaya menyiapkan lebih kurang 13 buah beg dan memperoleh RM500.

    “Bagi suri rumah seperti saya dapat juga duit poket tambahan hasil daripada mengait,” katanya yang berharap dapat mengeluarkan pelbagai lagi produk kait hasil sentuhan jemarinya dan menarik minat mereka di luar sana untuk terjun ke bidang mengait. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda