Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hobi mengumpul poskad

    MENGUMPUL poskad? Ini hobi generasi ayah dan ibu kita ketika mereka muda dulu. Poskad boleh dianggap sebagai ‘khazanah’ silam yang semakin dilupakan.

    Namun anak muda kelahiran Moscow di Rusia, Makzim Zratev, 27, mengakui minatnya terhadap poskad sedikit sebanyak menjadikan dia berjiwa sentimental.

    Jika kebanyakan golongan muda gemar memuat naik gambar di Instagram atau bertanya khabar keluarga dan rakan dengan cara mudah menggunakan pelbagai saluran media sosial, Makzim pula lebih selesa memilih poskad sebagai pengganti diri. Ke mana pun dia mengembara, pasti akan ada poskad sebagai cenderahati buat keluarga, teman dan diri sendiri.

    Ada lebih 60 poskad

    “Kawan cukup faham dengan hobi saya. Setiap kali keluar melancong pasti akan sampai poskad di rumah mereka. Itu rutin setiap kali saya mengembara.”

    “Disebabkan itu juga, ada antara rakan yang turut membalas mengirimkan poskad untuk saya ketika mereka ke luar negara. Sebab itu, boleh dikatakan hari ini, saya ada kira-kira 60 poskad dalam simpanan dihantar dari serata dunia,” katanya.

    Makzim yang cukup menggemari bidang fotografi dan seni berkata, dia tidak akan melepaskan peluang mengunjungi pameran fotografi atau lukisan sekiranya berada di satu-satu kota.

    Makzim berkata, ketika melancong dia lebih suka menginap di hostel kerana ia tempat paling tepat untuk mencari kenalan baru. Dari situ juga dia berkongsi pengetahuan mengenai negara lain dan boleh dikatakan, rakan yang dikenali di hostel antara ‘penyumbang’ terbesar dalam koleksi poskadnya.

    “Saya banyak terima poskad dari negara Asia kerana pernah ke sana dua tahun lalu. Walaupun saya juga pernah ke Amerika Syarikat, tetapi lebih sukakan Asia kerana budaya, makanan dan cara hidup masyarakatnya lebih eksotik, jauh berbeza dengan Rusia atau Eropah,” katanya.

    Suka gambar potret

    “Bagi saya, menulis poskad lebih memberi kepuasan apatah lagi apa yang ditulis itu dikongsi dengan orang tersayang. Ia seperti kita merakam memori di satu-satu tempat dan diabadikan dalam sekeping gambar yang akan wujud sampai bila-bila selagi poskad itu tidak rosak.”

    “Dari segi pemilihan poskad, saya sukakan potret berbanding pemandangan negara itu sendiri. Potret wajah dengan reaksi berbeza, apa lagi dengan pakaian tersendiri di setiap negara melambangkan identiti negara itu. Contohnya kalau gambar gunung, meskipun bentuknya berlainan tetapi ia nampak hampir sama,” katanya. Kata Makzim, tidak hanya yang baru dicetak, ada juga poskad lama yang dijual.

    “Ketika di Sofia, Bulgaria, saya temui satu kotak poskad lama sekitar 80an di pasar pagi. Gambar hitam putih dengan bahagian belakang masih kosong tanpa ditulis apa-apa. Bagi saya itu ‘hadiah’ istimewa kerana ia jarang ditemui. Bukan hanya gambar malah jenis kertas digunakan berbeza daripada poskad yang dicetak zaman sekarang.”

    “Kalau jumpa dengan barang yang jarang ditemui seperti ini, saya akan beli untuk koleksi sendiri yang kebanyakannya saya simpan dalam bingkai gambar atau album. Ada juga beberapa poskad keluaran terhad yang masih disimpan rapi hingga sekarang,” katanya.

    Makzim yang cukup menggemari bidang fotografi dan seni berkata, dia tidak akan melepaskan peluang mengunjungi pameran fotografi atau lukisan sekiranya berada di satu-satu kota.

    “Setiap orang ada minat tersendiri. Kalau ada yang gilakan sejarah, saya gilakan seni. Seni boleh jadi apa saja daripada bahasa, seni bina bangunan, lukisan atau abstrak. Tapi paling utama adalah poskad dan fotografi,” katanya.

    “Walaupun poskad tidaklah mahal seperti cenderahati lain, saya percaya ia berharga bagi sesiapa pun yang menerimanya apalagi kita tahu ia memerlukan usaha pengirim sebelum sampai ke tangan penerima,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda