JOHOR BARU – Hobi seorang lelaki mengumpul dan memulihkan motosikal lama kini menjadi minat dan kegemaran seluruh keluarganya.
Rosman Adenan, 53, berkata selama hampir 30 tahun, dia telah memulihkan sebanyak 40 motosikal yang dihasilkan pada tahun 70an dan 80an.
Bapa kepada empat anak itu berkata koleksinya termasuk motosikal yang sukar ditemui dan tiada lagi di pasaran seperti Yamaha YB100, Yamaha Pasola, Suzuki FR80 dan Honda Cub 70.
“Semasa zaman muda, saya bekerja sebagai mekanik dan kemahiran yang saya pelajari berguna untuk saya membaiki motosikal lama dan menukar apa yang orang anggap sebagai besi buruk kepada motosikal baharu,” katanya baru-baru ini.
Rosman berkata ada yang menawarkan RM20,000 untuk membeli Yamaha RXZ miliknya, tetapi dia menolaknya kerana bercadang untuk menurunkan koleksinya kepada anak dan cucunya.

“Tiada wang yang boleh membeli motosikal ini yang telah saya curahkan masa dan tenaga saya untuk memulihkannya,” tambahnya.
Rosimah Nordin, 49, berkata minat suaminya terhadap motosikal lama telah menurun kepada keluarga terutama empat anak mereka yang berusia antara 13 hingga 26 tahun.
“Pada mulanya, saya geram dengan dia kerana banyak menghabiskan masa dengan motosikalnya, tetapi kemudiannya saya nampak semangat dan minat mendalam dalam dirinya.
“Apabila saya melihat dia berjaya menukar motosikal lama menjadi cantik, ia perlahan-lahan mengubah pendirian saya dan kini kami sekeluarga sedang membaiki mesin lama,” katanya.
Tambah Rosimah, perkongsian hobi dan minat yang sama telah merapatkan lagi hubungan silaturahim antara mereka. – ANN/The Star

