Friday, March 14, 2025
32.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hobi umpama dilamun cinta

    Oleh Nurdiyanah R.

    Semakin tua usianya maka semakin tinggi harga dan nilainya, begitulah hakikatnya untuk barangan antik khususnya yang diperbuat daripada tembaga.

    Meminati barang antik bukan sekadar hobi, sebaliknya ia menjadi keasyikan tanpa mengira jantina dan faktor usia. Biarpun kelihatan lama dan ada yang berkarat namun barangan tersebut masih menjadi tumpuan ramai.

    Umpama dilamun cinta, itulah yang dapat digambarkan ungkapan jiwa-jiwa seseorang yang menggemari khazanah barang lama sehingga sering kali menyebabkan mereka terbayang-bayang barangan yang mereka idamkan untuk memilikinya.

    “Bagaikan teman sejati di hati saya. Itulah yang saya rasakan apabila menyaksikan barang-barang lama ini. Namun hakikatnya minat dalam dunia barang-barang sebegini sememangnya terlahir dengan adanya kecintaan atau minat yang serupa dari kedua orang tua saya,” itulah antara kata-kata yang diungkapkan oleh salah seorang pesara tempatan yang memiliki hobi pengumpul barangan antik dan sekali gus menjadikannya usahawan tanah air bersama kedua ibu bapanya, Awang Mohammad Khairul Arifin bin Simran semasa ditemui penulis di Bandarku Ceria, baru-baru ini.

    Berusia ratusan tahun

    Awang Mohammad Khairul yang kini berusia 43 tahun ini menjelaskan kebanyakan barangan antik yang dikumpulkan ini adalah barangan antik zaman silam yang berusia ratusan tahun. Sebahagian yang beliau miliki berasaskan daripada pelbagai barangan koleksi peribadi kedua orang tua.

    Koleksi barangan antik milik Awang Mohammad Khairul bukan sahaja dapat menarik minat masyarakat di negara ini bahkan juga para pelancong luar.
    ATAS & BAWAH : Antara barang-barang antik yang ada dalam simpanan Awang Mohammad Khairul pada masa ini adalah berjumlah lebih 30 jenis seperti tapak sirih, meriam, bedil, lampu, celapa, gangsa, pasu, gong, acuan kuih bahulu, terika, periuk dan sebagainya.

    Awang Mohammad Khairul selaku salah seorang pesara tempatan yang memiliki hobi pengumpul barangan antik dan sekali gus menjadikannya usahawan tanah air dalam dunia barangan antik bersama kedua ibu bapanya, semasa ditemui penulis di Bandarku Ceria, baru-baru ini.

    Di samping itu, beliau juga memperolehinya melalui pembelian daripada para pengumpul barang antik dari negara-negara jiran seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura termasuklah juga di negara ini.

    Dalam pada itu, barang-barang antik yang ada dalam simpanannya pada masa ini adalah berjumlah lebih 30 jenis seperti tapak sirih, meriam, bedil, lampu, celapa, gangsa, pasu, gong, acuan kuih bahulu, terika, periuk dan sebagainya.

    Indah dan sungguh menenangkan

    Selain itu, Awang Mohammad Khairul turut berkongsi kegembiraan bahawa dengan adanya jualan sebegini, ia sememangnya bermatlamat untuk menarik minat masyarakat di negara ini khususnya generasi penerus dan akan datang agar sentiasa memiliki rasa kecintaan dalam memelihara dan memartabatkan barangan warisan nenek moyang kita.

    Hal ini amat penting disemai dalam diri dan jiwa semua lapisan masyarakat agar keindahan dan keunikan yang dimiliki oleh bangsa Melayu tidak pupus ditelan zaman.

    “Begitu indah dan pastinya sungguh menenangkan. Itulah yang saya rasakan apabila menyaksikan keunikan khazanah barang-barang lama ini,” ujarnya lagi dengan penuh ketulusan.

    Sambutan luar biasa

    Dalam pada itu, peniaga barangan antik yang berasal dari Kampung Rimba ini turut mengungkapkan perasaan gembira untuk mengikuti jualan sebegini setiap hujung minggu di Bandarku Ceria, yang mana ia sememangnya bukan sahaja dapat menarik minat masyarakat di negara ini bahkan juga para pelancong luar agar mereka mengetahui akan keindahan khazanah kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat tempatan di negara ini.

    “Sambutan orang ramai amat luar biasa dan sangat menggalakkan. Senyuman dan kegembiraan yang dipancar pada wajah-wajah mereka memperolehi koleksi barangan lama yang mereka impikan, itulah detik terindah yang begitu bermakna dalam diri saya sepanjang meniti dunia keusahawanan ini,” ucapnya yang sudah berkecimpung dalam dunia pengumpulan barang-barang antik ini sejak sekitar lebih lapan tahun lalu semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda